Salurkan Maklumat Golongan Tolak Vaksin

CENDERMATA…Harun menyampaikan kepada Hadzlan (dua dari kanan) diiringi Pegawai Penerangan Daerah, Sam Mansibu (kanan) dan Pegawai Pembangunan Masyarakat N.27 Limbahau, Datuk Johnny Mositun (kiri).

PAPAR:  Semua pemimpin akar umbi digesa menyalurkan maklumat mengenai golongan yang menolak vaksin.

Menurut Pegawai Daerah, Hadzlan Jablee golongan tersebut dikesan sebagai salah satu penyumbang kepada kadar vaksinasi yang masih rendah di daerah berkenaan.

“Daerah Papar merupakan antara daerah yang mencatatkan jumlah penerima vaksin rendah.

“Setakat tiga minggu lalu, Papar mencatatkan hanya  56 peratus bagi dos kedua daripada jumlah penduduk 167,300 orang.

“Kita telah mencuba sedaya upaya untuk mencapai 60 peratus vaksinasi supaya daerah ini tidak terasing dan tertinggal berbanding daerah lain.

“Setelah diselidik, kita mendapati antara penyumbang kepada kadar vaksinasi rendah ini ialah  wujudnya segelintir masyarakat yang takut divaksin menyebabkan mereka menolak program vaksinasi kerajaan.

“Oleh itu, semua pemimpin masyarakat, ketua kampung, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) perlu menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak kita untuk memastikan semua penduduk menerima vaksinasi,” jelas beliau.

Justeru, tambah Hadzlan, langkah seterusnya ialah meneruskan usaha untuk meyakinkan golongan tersebut termasuk mengadakan program dari rumah ke rumah.

“Vaksinasi adalah perkara nombor satu bagi saya dan tugas saya masih belum selesai walaupun Pusat Pemberian Vaksin (PPV) sudahpun ditutup.

“Walau bagaimanapun, pemberian vaksin masih dijalankan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) di klinik-klinik kesihatan.

“Bagi memastikan semua penduduk divaksinasi, saya akan membawa pasukannya dari rumah ke rumah untuk memberi penjelasan lebih mendalam mengenai vaksin supaya mereka boleh mendapatkan suntikan vaksin dengan segera,” katanya dalam Program Sepakat @Komuniti Peringkat Daerah Papar, pada Khamis.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa yang ditemui media memaklumkan pihaknya bersedia untuk membantu Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) daerah mendepani isu tersebut.

“Sebagai jabatan yang mempunyai akses penuh komunikasi bersemuka dengan masyarakat akar umbi, pihak Jabatan Penerangan bersiap sedia untuk membantu PKOB turun padang bagi memperjelas dan menangani golongan berkenaan,” ujar beliau.-Penerangan.

scroll to top