KOTA KINABALU: Program Outreach Vaksinasi Covid-19 melalui konsep daftar dan vaksin mendapat sambutan luar biasa di Telipok.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Yakub Khan berkata, kehadiran penduduk yang memberangsangkan itu menunjukkan penerimaan masyarakat terhadap suntikan vaksin kini lebih terbuka.
“Sekiranya usaha ini diteruskan, saya yakin sasaran kerajaan dalam mencapai imuniti kelompok dapat dicapai dalam masa yang singkat.
“Selain itu, kerajaan negeri juga telah memohon peruntukan satu juta dos vaksin daripada kerajaan persekutuan dan difahamkan proses penghantaran sudah dilaksanakan.
“Oleh yang demikian, kita menyeru agar masyarakat sama-sama membendung wabak Covid-19 ini serta memutuskan rantaian jangkitan dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya dalam Program Taklimat, Daftar dan Vaksin Covid-19 di Sekolah Kebangsaan (SK) Talungan, Telipok di sini, pada Jumaat.

SUASANA….Sambutan suntikan vaksin Covid-19 daripada penduduk sekitar Telipok.
Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Dr. Suhaila Osman berkata, seramai 1,096 penduduk yang menerima suntikan pada hari ini telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera dan selebihnya secara ‘walk-in’ bagi mendapatkan vaksin dos pertama jenis Sinovac.
“Program ini melibatkan tujuh buah kampung di sekitar Kampung Talungan termasuk Tombongon, Natai, Kabayau, Lawa Mondou, Sri Melidan dan Tampulan bermula 9.00 pagi dengan seramai 55 orang petugas termasuk sukarelawan dan agensi terlibat.
“Selain itu, terdapat 20 penerima suntikan vaksin yang terlantar kerana sakit serta penjaga mereka diberikan vaksin melalui kunjungan ke rumah,” ujarnya.
Program Taklimat, Daftar dan Vaksin Covid-19 di Telipok merupakan anjuran Jabatan Penerangan Sabah (JaPen) dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Persatuan Insan Cahaya Harapan.
Turut hadir, Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM), Datuk William Majimbun dan Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Dr. Roland Chia.-Penerangan.