Sandbox IoT pertama di Borneo

KOTA KINABALU: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI), hari ini, melancarkan Program Rintis Digital Internet of Things (IOT) Sandbox (Sandbox IoT) yang pertama di Malaysia Timur iaitu Borneo dan kelapan di Malaysia.

Usaha dengan kerjasama Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Malaysia (MOSTI), Malaysian Research Accelerator for Technology and Innovation (MRANTI), Sabah Creative Economy and Innovation Centre (SCENIC) dan Sabah Net itu bertujuan untuk merancakkan pembangunan inovasi dalam membentuk ekonomi negeri Sabah.

Menteri KSTI, Datuk Yakub Khan berkata, ia akan menjadi platform di kalangan inovator untuk menghasilkan solusi atau produk kepada masalah di Sabah yang seterusnya menjadi pemacu kepada pertumbuhan ekonomi dalam apa juga industri.

“Inisiatif ini akan menjadi ‘game changer’ untuk menggalakkan lagi ekosistem Sains, Teknologi, Inovasi dan Ekonomi (STIE) dan meningkatkan pengkomersilan hasil inovasi tempatan.

“Di samping itu, pusat-pusat E-desa pula akan dinaik taraf secara berfasa menjadi Pusat Ekonomi Digital di luar bandar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Digital IoT Sandbox dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara KSTI Sabah bersama MRANTI dan Universiti Teknologi MARA (UiTM), Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.

Jelas beliau lagi, Digital IoT Sandbox yang terletak di Wisma Bandaraya terbahagi kepada empat ruang iaitu Showcase Space, Maker Space, Thinking Space dan Pitch Space yang akan memfokuskan kepada lima bidang utama.

“Lima bidang utama itu ialah pertanian, pelancongan, perindustrian, pembangunan Renewable Energy dan pengurusan bandar.

“Antara impak yang akan diperoleh hasil daripada Digital IoT Sandbox dalam tempoh tiga tahun adalah 20 bukti konsep teknologi terkini melalui 50 aktiviti pembinaan kapasiti melibatkan komuniti, kadar pekerjaan dalam sektor IR4.0 meningkat sebanyak 30 peratus dan menjadi platform kerjasama ekosistem penuh untuk memartabatkan ekonomi Sabah.

Terdahulu, beliau turut berkata, kerajaan memandang serius usaha memperkasa modal insan agar sentiasa kompeten, berinovasi, berdaya tahan dan berintegriti dalam membina masa depan negara.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan adalah menganjurkan kursus-kursus kemahiran Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) sejajar dengan Revolusi Industri 4.0 dan pembudayaan IOT.

“Jalinan usaha sama dengan pihak industri dalam latihan kemahiran perlu dipertingkatkan untuk membina kapasiti dan kebolehpasaran modal insan kita,” katanya.

scroll to top