SAPP bawa usul Sabah IC ke Sidang DUN Mac depan

Edward (tengah) Daxter Lim (tiga kiri) dan Stephan Gaimin (paling kanan).

KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) akan membawa usul penting Kad Pengenalan Sabah (Sabah IC) ke Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah Mac depan.

Timbalan Presiden SAPP, Edward Dagul berkata, usul tersebut akan dibawa melalui Presiden SAPP, Datuk Yong Teck Lee merangkap ADUN Dilantik.

Edward berkata demikian ekoran cadangan pemberian Kad Warga Asing di Sabah yang mendapat kecaman dari banyak pihak.

Menurutnya, bagi menyelia dan menyiapkan kertas kerja berkaitan Sabah IC, sebuah jawatankuasa yang dianggotai oleh beberapa Pemimpin SAPP telah ditubuhkan dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Sementara sepasukan peguam muda juga turut bekerjasama memberikan input penting dari segi perundangan agar Sabah IC sah digunakan kelak berdasarkan ordinen Negeri yang akan dicadangkan.

“Kita telah menyiapkan kertas kerja tersebut dan mengambil kira pelbagai aspek termasuk perundangan dan socio-ekonomi.

Sekiranya perkara ini dapat diusulkan kelak, kita akan menyerahkan butirannya kepada Kerajaan untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Edward berkata, pengujudan Sabah IC kelak dijangka dapat menyelesaikan banyak perkara antaranya isu pemberian kad pengenalan yang lebih dikenali sebagai Projek IC, pemilikan kad pengenalan secara meragukan, pengundi hantu dan tentu sekali kepada orang asal yang tidak berdokumen terutama di kawasan pedalaman Sabah yang jauh dari akses ke bandar.

“Sabah IC bukan pengganti Mykad, akan tetapi sebagai jaminan perlindungan hak bagi rakyat tulin Sabah dan rakyat Malaysia yang layak”, ujar beliau.

Menurut Edward, pada Jun 2013, ketika memberi keterangan kepada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung Pendatang Asing Tanpa Izin di Sabah, Datuk Yong turut mengemukakan cadangan Sabah IC kepada suruhanjaya tersebut.

Edward yakin Sabah IC merupakan jalan terbaik menyelesaikan isu PTI yang membelenggu Sabah berpuluh-puluh tahun lamanya.

Perkara ini yang seringkali diperdebatkan akan tetapi masih tidak kunjung selesai sehingga kini.

“Kerajaan perlu memikirkan inisiatif baru dan lebih serius dalam menangani gejala Projek IC secara total di Sabah,” katanya.

Sabah IC mendapat sokongan pelbagai pemimpin antaranya Presiden Parti STAR, yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Panglima Dr Jeffery Kitingan, selain itu juga pemimpin pembangkang Datuk Darell Leiking yang juga Adum Moyog, dan Timbalan Presiden Warisan.

Edward berkata, peningkatan mendadak populasi di Sabah sehingga 300 petatus berbanding Sarawak dan Semenanjung Malaysia, menunjukkan betapa seriusnya masalah ini.

Menurutnya lagi Kerajaan yang lepas telah mengeluarkan pelbagai dokumen kepada warga asing akan tetapi dokumen-dokumen seperti Kad Burung-Burung telah disalah anggap memberi status kepada warga asing yang menceroboh masuk, melanggar undang-undang dan seterusnya mengancam keselamatan dan kedaulatan negara.

“Selain itu, setiap kali pilihanraya sejak akhir 80-an, ramai pengundi tidak dapat menunaikan hak dan tanggungjawab mereka untuk memilih wakil rakyat kerana pengundi hantu telah mengundi lebih awal.

Apabila pengadu membuat laporan pihak berkuasa hanya mampu menerimanya tanpa sebarang tindakan.

“Sekalipun peraturan calitan warna pada jari pengundi, masih terdapat laporan sedemikian pada pilihanraya ke-14. Hanya Sabah IC sahaja dapat mencegah perkara ini berlaku di masa depan” jelas beliau lagi.

scroll to top