Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia Semai Semangat Patriotik

DATUK DR RADZUAN IBRAHIM

Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN

KUALA LUMPUR: Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (PEMUISI) akan menganjurkan Sayembara Deklamasi Puisi Artistik Hari Malaysia (SDPAHM) kali ke-2 bagi menyemai semangat patriotik dan kecintaan kepada negara dalam kalangan masyarakat.

Presidennya, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata program tahunan PEMUISI  dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sempena sambutan Hari Malaysia itu akan diadakan secara dalam talian kerana negara masih berada dalam suasana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.

“Sayembara itu merupakan reformasi dan pembaharuan dalam stail penyampaian puisi yang sama sekali berbeza  daripada gaya deklamasi biasa yang diamalkan,” katanya dalam satu siaran media yang diperolehi Sabah360online.com.

“Dari segi format, SDPAHM membawa persembahan dengan cara dan gaya bebas mengikut kesesuaian. Persembahan boleh menggunakan bantuan teknikal seperti prop, muzik, slaid, gambar, grafik dan alatan lain yang menepati konsep dan puisi yang dipilih.

“Ia berbentuk teaterikal dan  dramatik supaya memberi kesan terbaik  kepada penonton.  Deklamator bebas bergerak di pentas. Namun ia masih lagi mengekalkan pemarkahan dari segi penyampaian, kelancaran dan penjiwaan atau penghayatan terhadap teks puisi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Radzuan berkata pertandingan akhir akan diadakan pada 15 September menerusi siaran langsung secara dalam talian di laman Facebook DBP dan PEMUISI BERKARYA.

Katanya, PEMUISI menyediakan hadiah menarik kepada para pemenang termasuk piala pusingan SERI PEMUISI untuk juara serta piala iringan dan wang tunai.

Beliau berkata semua puisi yang dipertandingkan diambil daripada ‘Antologi Puisi Malaysia Satu – Teks Sayembara Puisi Hari Malaysia’.

“Peserta boleh membeli buku tersebut serta mendapatkan keterangan lanjut dengan menghubungi Setiausaha Agung PEMUISI  Zaleena E-naa (012 502 5688) atau Penolong Setiausaha Agung  Marzelan Md Jusoh (013 269 5581),” katanya.

scroll to top