Selesaikan Isu Kelemahan Imigresen Labuan-Menumbok

PETER JINO ALLION

Tangani kemasukan individu luar ke Sabah tanpa dikesan

KOTA KINABALU: Seruan untuk menyelesaikan kelemahan imigresen antara laluan Labuan dan Menumbok baru-baru ini mendapat sokongan padu daripada kepimpinan Parti Bersatu Sabah (PBS).

Sambil menegaskan isu itu penting kerana melibatkan kedaulatan negeri Sabah, Ahli Majlis Tertinggi PBS Peter Jino Allion berkata, isu kelemahan imigresen di Labuan-Menumbok perlu diselesaikan segera bagi mengelak perkara yang tidak diingini terus berlaku.

“Terdapat laporan bahawa laluan ini telah disalahgunakan oleh pendatang tanpa izin, serta pelawat dari Semenanjung Malaysia dan Sarawak masuk ke Sabah tanpa dikesan.

“Seperti yang kita sedia maklum, Labuan adalah Wilayah Persekutuan, dan ketiadaan petugas imigresen di pelabuhan Menumbok telah membolehkan mereka bebas memasuki negeri kita tanpa sebarang dokumentasi dan pemantauan.

“Tidak seperti apabila mereka masuk ke negeri ini melalui laluan udara, pelawat dari luar Sabah perlu melalui kaunter imigresen, di mana butiran mengenai masa ketibaan dan pelepasan mereka akan direkodkan dalam sistem.

“Oleh itu, seruan untuk menyelesaikan kelemahan imigresen Labuan-Menumbok adalah penting. Sudah terlalu lama hal ini ditangguhkan, namun tidak terlambat untuk menyelesaikan isu tersebut,” kata peguam bela Peter, yang juga ahli Biro Perundangan PBS.

Katanya, sekiranya kelemahan itu dapat diatasi, ia juga akan memulihkan kuasa imigresen Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Sabtu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili semasa dalam sesi dialog bersama Persatuan Kebudayaan Kadazan Dusun Labuan (Labuan KDCA) dan rakyat Sabah yang bermastautin di Labuan mengadu bahawa federalisasi dan kelonggaran syarat-syarat imigresen untuk memasuki Sabah, terutamanya melalui kapal laut di Pelabuhan Menumbok, telah mengakibatkan Sabah kehilangan kawalan ke atas hak-hak imigresen.

Menegaskan bahawa kelemahan itu adalah perkara yang serius, Dr Maximus berkata, peserta dialog menyuarakan pandangan mereka bahawa Kerajaan Sabah perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengetatkan undang-undang dan mengatasi masalah agar mematuhi undang-undang Imigresen, dan pada masa yang sama memulihkan hak MA63.

“Oleh itu, kami turut menyeru Kerajaan Sabah memandang serius perkara itu dan memastikan terdapat pegawai dan kakitangan imigresen ditempatkan di kaunter mereka di pelabuhan Menumbok, dan di semua pintu masuk ke negeri ini.

“Kami mencadangkan agar Pusat CIQS (Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan) diwujudkan di Menumbok, bukan hanya sebuah bangunan kayu seperti sekarang.

“Amat menyedihkan kerana selepas 36 tahun (sejak pengisytiharan Wilayah Persekutuan Labuan), tiada pusat pemeriksaan imigresen di pelabuhan tersebut, sedangkan ia salah satu pintu masuk yang paling aktif ke Sabah,” kata Peter.

scroll to top