Semai Semangat Cintakan Negara Menerusi Kempen Kibarkan Jalur Gemilang

SEMANGAT MERDEKA: Matbali (dua kanan) bersama ADUN Lumadan Ruslan Muharam merakamkan gambar selepas menyertai Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Kampung Melati, Lumadan.

BEAUFORT: Semua anggota masyarakat termasuk warga Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) digesa supaya terus menyemai semangat cintakan negara menerusi Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di kawasan kediaman mahupun premis masing-masing.

Pengarah UPPM Negeri Sabah Datuk Matbali Haji Musah berkata, kempen mengibarkan Jalur Gemilang perlu disemai dari semua lapisan usia agar semangat juang cintakan negara terus disemarakkan menerusi kempen berkenaan.

“Inilah salah satu usaha warga masyarakat untuk tonjolkan betapa kita menghargai kemerdekaan dan cintakan negara ini,” katanya selepas menyertai Kempen Kibarkan Jalur Gemilang di Kampung Melati, Lumadan di sini pada Ahad.

Beliau berkata, masyarakat di luar bandar juga turut memainkan peranan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda cintakan negara.

Sempena sambutan Bulan Kebangsaan yang diadakan setiap 31 Ogos, Kampung Melati Lumadan antara yang menyahut seruan mengibarkan Jalur Gemilang.

scroll to top