PUTATAN: Semua premis perniagaan digalakkan supaya mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah bagi menyemarakkan lagi bulan kemerdekaan tahun ini.
Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Ir Shahelmey Yahya berkata, perkara itu amat digalakkan walaupun tiada sebarang tindakan denda dikenakan terhadap mereka yang tidak berbuat demikian.
“Belum ada lagi peruntukan atau penguatkuasaan denda kepada pemilik premis yang tidak mengibarkan bendera di negeri ini.
“Namun kerajaan melalui PBT sentiasa menyeru kepada pemilik premis turut serta menyemarakkan bulan kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah sebagai satu simbol kecintaan terhadap negeri dan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Konvoi Merdeka Daerah Putatan 2022, di Kampung Sipanggil, di sini.
Shahelmey berkata, beliau turut meminta pemilik premis atau individu mengibarkan bendera dilakukan secara teratur dan rasa hormat kerana ia adalah simbol kedaulatan negara.
“Tinjauan di sekitar Pekan Putatan mendapati, kebanyakan premis atau bangunan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah.
“Oleh itu, kita juga mengagihkan bendera kepada lebih ramai pihak untuk menghiasi premis masing-masing sekali gus menyemarakkan bulan kemerdekaan,” katanya.