Seramai 24 graduan kumpulan pertama Felo SMJ terima surat pelantikan

KOTA KINABALU: Seramai 24 graduan yang diterima menyertai kumpulan pertama program Felo Sabah Maju Jaya (SMJ) menerima surat pelantikan daripada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor hari ini.

Surat pelantikan itu disampaikan dalam satu majlis di Menara Kinabalu di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, serta Menteri Belia dan Sukan negeri Datuk Ellron Alfred Angin.

Hajiji dalam kenyataan yang diedarkan kepada media selepas majlis itu berkata, 24 peserta berkenaan adalah kumpulan pertama graduan yang dipilih untuk program bimbingan dan pembelajaran langsung selama 6 bulan di 12 kementerian di negeri ini.

“Ia merupakan Inisiatif Kementerian Belia dan Sukan Sabah dan program itu akan dijalankan di bawah Inkubator Kepimpinan Belia Sabah (IKEBS). Di bawah program itu, peserta Felo SMJ akan menerima elaun bulanan sepanjang program berlangsung,” katanya.

Hajiji yang juga Menteri Kewangan Sabah semasa mengumumkan inisiatif Felo SMJ berkenaan ketika membentangkan Belanjawan 2022 Sabah tahun lepas berkata, ia adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan pembangunan modal insan.

Katanya program itu merupakan kerjasama pelbagai agensi termasuk Sekretariat Hala Tuju SMJ, Institut Kerjasama Kerajaan dan Rakyat (IKRAR) serta Majlis Belia Sabah.

scroll to top