SESB, SEB Meterai ‘Power Exchange Agreement’

KENANGAN....Gambar kenangan seusai majlis pemeteraian perjanjian secara maya selesai.

KOTA KINABALU: Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan Sarawak Energy Berhad (SEB) memeterai Sabah-Sarawak Power Exchange Agreement dan Perjanjian Sambungtara 275kv antara SESB dan Sarawak Electricity Supply Corporation (SESCo).

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, pihak kerajaan negeri mengalu-alukan usaha SESB untuk meningkatkan sistem pembekalan elektrik di negeri ini sebagai salah satu usaha memacu pembangunan Sabah.

“Selain memberi impak positif kepada sistem grid negeri, bekalan elektrik yang stabil adalah penting untuk menjayakan agenda pembangunan Sabah Maju Jaya berpaksikan tiga teras utama iaitu pertanian, perindustrian dan pelancongan.

MAYA … Nasser (kanan) dan Hajiji (tengah) ketika majlis secara maya berlangsung.

“Melalui perjanjian ini juga, kita berharap ia menjadi langkah permulaan yang penting ke arah merealisasikan visi bersama BIMP-EAGA iaitu menghubungkan infrastruktur negara-negara ASEAN dengan pembinaan ASEAN Power Grid (APG).

“Dalam pada itu, pembekalan elektrik yang lebih stabil secara langsung meningkatkan pelaburan dari dalam dan luar negara serta menyokong pertumbuhan ekonomi sektor perindustrian, pengilangan dan hiliran.

“Kesan positif juga  akan turut dirasai menerusi pertambahan peluang pekerjaan dalam sektor industri berat dan ringan serta memperbaiki tahap sosio-ekonomi terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya dalam majlis itu di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah, pada Jumaat.

Tambah Hajiji, kerajaan negeri berharap hubungan antara dua negeri itu menjadi lebih erat serta lebih banyak kerjasama dapat dilaksanakan demi kebaikan penduduk di Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SESB, Datuk Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, antara objektif perjanjian tersebut adalah untuk memastikan penjanaan yang optima iaitu mengurangkan kos kerana tenaga diimport daripada Sarawak dalam bentuk tenaga hidro adalah jauh lebih murah.

“Ia juga untuk mewujudkan suatu fleksibiliti dalam sistem dengan mendapatkan lebih kapasiti daripada Sarawak minima 30 megawatt dan maksima 300 megawatt bagi menampung sekiranya terdapat lonjakan permintaan beban dalam pembangunan industri Sabah.

“Pembinaan akan bermula pada penghujung tahun ini dan dijangka siap sekitar penghujung tahun 2023 menerusi geran RM33juta yang diperuntukkan oleh kerajaan pusat bagi membina talian lapan kilometer menghubungkan Megalong, Sipitang ke sempadan Sarawak,” ujarnya.

Majlis itu diadakan secara maya dan turut dihadiri Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, Pengerusi SEB, Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi dan Pengerusi SESB, Datuk Seri Mahdzir Khalid.- Penerangan.

scroll to top