Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Kerja-kerja membaikpulih bekalan elektrik yang terganggu ekoran hujan dan banjir melanda beberapa kawasan di pantai barat Sabah sejak Khamis diteruskan oleh pasukan teknikal Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB).
Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) SESB Ir. Idris Mohd Noor berkata, kerja-kerja pembaikan itu dilaksanakan sebaik sahaja keadaan dan kawasan adalah selamat untuk dilalui.

ALIH: Anggota SESB mengalihkan pokok tumbang ke atas talian elektrik.
Beliau berkata, antara tumpuan pembaikan adalah tiang elektrik yang tumbang kesan tanah runtuh, talian putus dan juga memastikan pencawang elektrik bertugas seperti biasa.
“Pasukan teknikal SESB bertugas 24 jam secara bergilir dengan bantuan kontraktor yang dilantik sejak Khamis lalu bagi memastikan kerja-kerja membaikpulih dilaksanakan demi kelangsungan bekalan kepada pengguna,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

PEMBAIKAN: Pasukan teknikal SESB melaksanakan pembaikan sebaik sahaja keadaan dan kawasan adalah selamat untuk dilalui.
Sehubungan dengan itu, Idris meminta pengguna untuk menghubungi SESB Careline 15454, 088-515000 atau WhatsApp 019-852 5427 untuk sebarang aduan gangguan bekalan.
Beliau turut mengulangi nasihat agar orang ramai tidak menghampiri pepasangan SESB bagi mengelak sebarang kejadian yang tidak diingini.