Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Negeri Sabah Datuk Matbali Haji Musah menyifatkan kerjasama antara Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) dan UPPM sebagai usaha memantapkan lagi jaringan maklumat terus ke akar umbi.
Beliau berpendapat sesi taklimat yang diadakan sebagai satu ruang untuk pihak SESB dan UPPM bekerjasama menyampaikan maklumat terkini kepada rakyat.
“Justeru, saya berharap PPM yang hadir pada taklimat ini agar sentiasa peka terhadap perkhidmatan yang diberikan oleh SESB supaya dapat disampaikan kepada rakyat secara langsung dan sentiasa memberikan perkhidmatan terbaik di kawasan masing-masing,” katanya ketika berucap pada Program Taklimat SESB kepada Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) seluruh 73 UPPM Sabah menerusi aplikasi Zoom Meeting pada Rabu.
Beliau difahamkan bahawa SESB mengambil inisiatif untuk menyediakan ‘WhatsApp Group’ bersama semua UPPM dan barisan pengurusan berkaitan bagi membincangkan apa jua masalah yang timbul secara langsung.
“Usaha ini adalah sesuatu yang baik kerana masalah yang dihadapi oleh rakyat berkaitan perkhidmatan bekalan elektrik dapat disampaikan dan ditangani oleh pegawai-pegawai SESB dengan cepat dan pantas,” katanya.
Katanya, setiap peluang dan potensi perlu dimanfaatkan secara bijak dalam memberikan khidmat bakti yang maksima kepada masyarakat di daerah ini.
Matbali berkata, keluhan masyarakat akar umbi adalah keutamaan dan perlu didengar serta diselesaikan dengan adil dan bijak.
Pada taklimat itu, semua PPM yang hadir dapat mengambil peluang mengemukakan soalan masing-masing yang menjadi kemusykilan untuk disampaikan kepada masyarakat di kawasan masing-masing.
Dari pihak SESB dipengerusikan oleh Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset) Ir. Idris Mohd Noor, Pengurus Besar (Sumber Manusia) Ridwan Saham, Timbalan Pengurus Besar Pembahagian (Perkhidmatan Pengguna) Fauziah K. Hamid, Timbalan Pengurus Besar Pembahagian (Rangkaian) Md Jumat Md Tahir, dan Timbalan Pengurus Besar Kewangan Razaliegh Mohd Zain.
Barisan PPM mewakili UPPM di 73 DUN Sabah, dan Hajah Musliati Moslimin selaku Pegawai Tabdir Ibu Pejabat UPPM Negeri Sabah serta Pegawai Kemajuan Masyarakat (CDO) Ibu Pejabat.