Shahelmey Dilantik Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah

SHAHELMEY YAHYA

Oleh MARIAYATI MURSIDI

KOTA KINABALU: Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya dilantik sebagai Pengarah Operasi Program Imunisasi Negeri Sabah.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan yang juga jurucakap COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, pelantikan Shahelmey itu adalah bagi tujuan merancang dan melaksanakan pemberian vaksin dalam kadar yang lebih cepat dan efisien.

“Tugas beliau (Shahelmey) ialah membantu Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) merancang dan melaksanakan program-program imunisasi di negeri Sabah untuk memastikan kita mencapai sasaran peratusan penduduk yang lengkap divaksin pada tarikh yang telah ditetapkan,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurutnya, Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Sabah juga akan mengawasi dan melakukan penyelarasan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi kemudahan-kemudahan dan keperluan-keperluan mendadak di hospital-hospital di Sabah yang diperlukan dari masa ke masa.

“Beliau juga akan mengeluarkan kenyataan akhbar dari masa ke semasa atau bila-bila diperlukan bagi memaklumkan orang ramai perkembangan terbaharu (update) Program Imunisasi Negeri Sabah serta maklumat-maklumat lain yang perlu diketahui oleh orang ramai,” katanya.

scroll to top