SMK Kundasang baharu dijangka siap menjelang tahun 2024

LAWAT: Joachim ketika melawat tapak pembinaan SMK Kundasang Kg. Mesilau.

KUNDASANG: Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kundasang yang baharu di Kampung Mesilau, di sini dijangka siap dua tahun dari sekarang.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr. Joachim Gunsalam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kundasang melawat tapak baharu sekolah yang mempunyai keluasan lebih kurang 20 ekar di Kg. Mesilau kelmarin.

“Saya mewakili penduduk kawasan Kundasang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia, di atas peruntukan membina sekolah baharu di sini,” katanya.

Sehubungan itu, satu majlis upacara doa selamat kampung sempena pembersihan dan pembukaan tanah di tapak pembinaan bangunan diadakan.

Ia dianjurkan oleh pemegang Ketua-ketua Adat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kundasang.

“Oleh itu, kita tanpa mengira agama dan kepercayaan berkumpul bagi mendòakan pembinaan SMK Kundasang yang baharu akan siap dengan lancar,” katanya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Ketua Daerah OKK Mohasip Hj Ruman; Ketua-ketua Anak Negeri (KAN) Sawalin Zakaria, Andrew Jaibi dan Japilin Lajim; wakil Pejabat Parlimen Ranau Louis Sinti; wakil Pegawai Pendidikan Ranau Suhilin Hadi; Penyelia Kemajuan Masyarakat Unit Pembangunan Masyarakat (UPPM) Kundasang Japili Madi; Ketua-ketua Kampung serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).

Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian berkata, penduduk Kundasang sudah menunggu hampir 20 tahun untuk permohonan sekolah baharu.

“Pembinaan tertangguh berikutan penularan pandemik COVID-19 selama dua tahun ini.

“Setakat ini, kerja-kerja pembinaan bangunan pentadbiran dan kelas sedang berjalan,” katanya.

Katanya, sekolah asal dahulu terdedah kepada bahaya di mana struktur tanah berubah dan bangunan sekolah berkenaan telah pun ditutup.

“Bagaimanapun, sekolah yang sedia ada adalah sekolah sementara di SMK Agama Ranau,” jelasnya.

Beliau berkata, sekolah yang baharu dibina ini boleh menempatkan sejumlah 1000 pelajar dan guru.

“Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) akan membantu membaiki infrastruktur jalan raya ke sekolah berkenaan. Semua dalam kajian dan perkara Ini sudah dibawa ke ke pengetahuan kerajaan negeri,” katanya.

Jarak di antara sekolah baharu berkenaan dari pekan Kundasang ialah 20 kilometer.

scroll to top