SMK Labuan catat keputusan STPM memberangsangkan

GBR1 - Sawal Salleh (tengah), Saminan Sabtu (kiri) dan Yusuf  Haji Chuchu (kanan) bersama calon-calon STPM Kohort 2021/2020 SMK Labuan.

LABUAN: Prestasi Peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) Kohort 2021/2020 Wilayah Persekutuan Labuan bagi lulus penuh sekurang-kurangnya satu mata pelajaran pada  tahun 2021 bagi calon sekolah kerajaan ialah 96.75% dengan pencapaian Gred Purata Negeri ialah 2.50.

Seramai 41 daripada 154 orang calon yang telah menduduki peperiksaan ini ialah calon mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.00 ke atas iaitu 26.62% berbanding 36 calon bersamaan 26.47% tahun lalu.

Nurdiana Mohd Ali telah diumumkan sebagai pelajar terbaik STPM 2021 peringkat WP Labuan dengan pencapaian PNGK 3.92.

Sementara Norhalyna dan Dahlia Farisah Derin masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga terbaik pencapaian STPM dengan mendapat PNGK 3.84 secara bersama.

Antara mata pelajaran yang mencatatkan 100% lulus ialah mata pelajaran Kimia, Matematik [T] dan Fizik.

Manakala mata pelajaran yang lain turut mencatatkan peningkatan berbanding tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, Yusup Mohammad dalam ucapan pengumuman STPM turut merakamkan jutaan terima kasih kepada semua petugas peperiksaan STPM 2021 yang telah dapat menjalankan tugas dengan cemerlang dan dapat melaksanakan urusan pengendalian STPM 2021 dengan jayanya walaupun sedang berhadapan dengan situasi pandemik COVID-19 pada ketika itu.

“Saya berharap agar kejayaan mereka akan menjadi pendorong kepada murid-murid lain untuk mencipta kecemerlangan yang lebih hebat pada masa akan datang.

“Saya yakin kejayaan yang dikecapi adalah hasil daripada usaha dan perancangan yang rapi pihak sekolah, ibu bapa, pelajar dan guru-guru,”kata beliau.

Pengumuman secara dalam talian dipancarkan khas dari Kota Kinabalu yang disaksikan oleh semua pensyarah Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan dan pelajar yang menduduki peperiksaan STPM Kohort 2021/2020.

Turut hadir dalam pengumuman tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah, Unit Penilaian dan Pentaksiran, Sawal Salleh, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim, Penolong Kanan Pusat Tingkatan Enam SMK Labuan, Saminan Sabtu dan Yang DiPertua PIBG SMK Labuan,  Yusuf  Haji Chuchu.

scroll to top