SMK Mutiara Iktiraf Penglibatan Murid Dalam PdPR

LABUAN: Pihak sekolah perlu memberikan suntikan motivasi dan galakan agar murid-murid sekolah dapat menghadirkan diri secara konsisten dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah(PdPR).

Hal demikian kerana, situasi pandemik Covid-19 sedikit sebanyak telah memberikan pelbagai kesan kepada murid-murid dan jika tidak ditangani dengan baik sudah pasti akan menyebabkan murid-murid tersebut mengalami defisit pembelajaran.

MATHEW … Pelajar Kelas 5 Hibiscus merupakan salah seorang penerima Anugerah Kehadiran Murid Terbaik PdPR Tingkatan Lima.

“Justeru, usaha yang diadakan oleh SMK Mutiara patut dipuji dalam menghargai murid-murid yang terlibat secara aktif dalam PdPR,” kata Haji Abdul Rahman Haji Ahmad, Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Labuan sempena Majlis Penghargaan Murid PdPR (MAPEM 2021) baru-baru ini.

Katanya, kehadiran murid dalam PdPR sangat penting supaya murid-murid tidak mengalami defisit pembelajaran.

“Walaupun pengajaran dan pembelajaran di rumah berbeza jika dibandingkan pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka, namun kita semua perlu menerima hakikat bahawa PdP secara norma baharu ini perlu diterima dengan hati yang terbuka.

“Kehadiran anak-anak murid juga perlu diambil perhatian oleh semua guru dan ibu bapa,” jelasnya.

Sementara itu dalam majlis yang sama, Pengetua SMK Mutiara Yahya Ahmad Puteh berkata, objektif penganjuran MAPEM PdPR adalah untuk menghargai murid-murid terlibat secara aktif dalam PdPR, Murid yang hadir awal dalam PdPR dan Murid yang mempunyai kehadiran terbaik sepanjang tempoh PdPR berlangsung.

Seramai 76 orang murid yang diberikan penghargaan atas pelibatan mereka yang aktif sepanjang tempoh PdPR berlangsung.

Murid-murid yang diberi penghargaan ini terdiri daripada murid-murid Tingkatan 1 hinggalah ke Tingkatan 5.

NURAIN ATIQAH …. Pelajar Kelas 5 Ibnu Sina juga merupakan salah seorang penerima Anugerah Kehadiran Murid Terbaik PdPR Tingkatan Lima.

“Saya mengharapkan kehadiran murid akan lebih baik selepas ini memandangkan murid-murid akan mula bersekolah selepas 31 Ogos 2021 nanti.

“Setakat ini, jumlah kehadiran murid-murid SMK Mutiara dalam keadaan yang baik, katanya.

Hal ini katanya, disebabkan sokongan ibu bapa yang sentiasa membantu sekolah dengan memastikan anak-anak mereka hadir sepanjang sesi PdPR berlangsung.

“Saya percaya semua murid dan guru akan lebih bersedia menghadapi sesi PdPR apabila tamatnya cuti pertengahan penggal kedua nanti,” jelasnya.

Seorang pelajar, Mathew Chew Kah Ming berkata, bahawa sepanjang sesi berlangsungnya PdPR ini, terdapat banyak cabaran yang dilaluinya.

“Antara cabaran terbesar bagi saya ialah dari aspek medisiplinkan diri. Seperti yang kita semua sudah maklum, PdPR berlangsung di rumah masing-masing.

“Pada awalnya saya sangat sulit untuk menyertai sesi PdPR pada awal pagi tetapi berkat dorongan daripada guru-guru, saya berjaya mengatasi masalah ini. Saya percaya ini juga merupakan cabaran bagi semua pelajar yang lain,”jelasnya.

Menurutnya lagi, disebabkan PdPR dijalankan secara maya, dia tidak lagi dapat berkomunikasi secara bersemuka dalam bilik darjah.

Hal ini menjadikannya sukar untuk memahami sesuatu topik pembelajaran.

“Oleh itu, jalan penyelesaian baginya ialah menonton rancangan pendidikan yang disediakan oleh kerajaan seperti menonton Didik TV serta turut menasihati kawan-kawannya supaya tidak putus asa dan teruskan usaha walaupun tidak dapat bersekolah seperti sebelum ini akibat Covid-19.

Nurain Atiqah Ramblie dari Kelas 5 Ibnu Sina pula berkata, bahawa pengalaman belajar secara PdPR agak mencabar kerana ianya merupakan perkara baharu.

Namun secara tidak langsung, dirinya boleh belajar tentang penggunaan teknologi.

“Antara tips yang boleh saya kongsikan dalam menghadapi cabaran PdPR ialah menetapkan ‘alarm’ dalam telefon supaya kita lebih peka tentang kelas dan masa bagi satu-satu subjek sewaktu PdPR supaya kita lebih bersedia sebelum memasuki kelas.

Selain itu, saya juga memastikan buku-buku sudah ada di atas meja dan kemas kerana ini akan memberikan kita lebih bersemangat untuk memulakan PdPR.

“Saya juga akan membuat tugasan yang diberikan pada waktu malam. Saya juga sentiasa peka terhadap jadual harian kelas dan menjadikan jadual kelas sebagai ‘wallpaper’ dalam telefon bimbit saya,” katanya.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YDP PIBG Sekolah, Norhani Yusof, dan semua penolong kanan sekolah.

Majlis tersebut telah diurusetiakan oleh Unit Bimbingan Dan kaunseling SMK Mutiara.-Sumbangan AZRI ONN

scroll to top