Srikandi Bersatu Sabah kenal pasti calon tanding empat kawasan Parlimen

Azizah bersama Datuk Redonah Bahanda dan Datuk Surinam Sadikun serta barisan Srikandi Sabah semasa sidang media.

KOTA KINABALU: Srikandi Bersatu Sabah telah menyenaraikan calon untuk bertanding sekurang-kurangnya di empat kawasan Parlimen, dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.

Ketuanya Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata kawasan berkenaan termasuk di utara, pantai timur dan pedalaman Sabah, yang difikirkan mampu memberikan kemenangan kepada calon wanita.

“Kriteria calon-calon ini adalah dalam kalangan Srikandi yang bekerja dalam kawasan masing-masing, sekurang-kurangnya memiliki pendidikan Diploma, mempunyai pengetahuan bukan hanya dalam politik tetapi juga dalam kerja-kerja kemasyarakatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Srikandi Bersatu Sabah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini.

Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort berkata senarai calon wanita yang dipilih itu, akan diberikan kepada pucuk pimpinan Bersatu sebelum diumumkan nanti.

Beliau berkata Srikandi Bersatu Sabah juga telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU15 dengan menggerakkan jentera parti khususnya mendekati pengundi muda agar mengambil bahagian menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi.

Azizah berkata antara perkara yang difokuskan oleh Srikandi Sabah ialah, perjuangan menangani masalah kemiskinan dalam kalangan wanita yang berada di luar bandar, agar mereka dapat berdikari terutamanya yang bergelar ibu tunggal pada usia muda.

Mengulas mengenai kerusi Parlimen Beaufort yang disandangnya, Azizah berkata beliau bersedia melepaskan kerusi berkenaan namun perkara itu bergantung kepada pimpinan Bersatu, sekiranya mahu meletakkan calon baharu.

“Penyandangnya adalah wanita (dari) Srikandi (Bersatu)..bakal pengganti mestilah dari Srikandi juga. Kita ni dalam politik ada masanya kita kena berjuang, ada masanya bagi laluan kepada orang lain pula,” katanya.-BERNAMA

scroll to top