LABUAN: Staf Pusat Koreksional Labuan (PKL) diingatkan agar sentiasa menjaga kesihatan untuk memudahkan mereka menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pengarah PKL, Penolong Komisioner Penjara (PKP), Kalbin Haji Mohd Said mahu pegawai dan anggota PKL sentiasa sihat, cergas dan cerdas bagi memudahkan mereka mudah melaksanakan tanggungjawab yang diberikan.

Staf UMSKAL … Mohd Mazlan Ahmad (3 kiri) dan staf Tricor Trustco (Labuan) Ltd, Mohd Zaidi Diding (baju hitam).
Beliau berkata selain untuk mengisi Hari Kemerdekaan Ke-64 2021 peringkat Pusat Koreksional Labuan, program Kayuhan Santai Merdeka PKL 2021 diharap mampu mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara pegawai dan staf agensi kerajaan itu.
Malah katanya, menerusi program tersebut hubungan antara ahli keluarga PKL juga dapat dieratkan.
“Saya berharap menerusi Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 itu akan menjalinkan hubungan yang lebih baik dan erat dalam kalangan warga Pusat Koreksional Labuan termasuk ahli keluarga,”katanya selepas merasmikan program tersebut di pekarangan PKL, Selasa lalu.
Tambah Kalbin, PKL akan terus mengadakan pelbagai program sempena Hari Kemerdekaan sebagai tanda cinta dan sayang kepada negara ini.
Program Kayuhan Santai Merdeka 2021 yang dianjurkan Biro Sukan Labuan Prison Cycling Club itu disertai 30 staf dan ahli keluarga yang diketuai penyelaras program, SM Enjis Lakum.

KENANGAN … Peserta Program Kayuhan Santai Merdeka PKL 2021 bergambar kenangan.
Kayuhan sejauh 40 kilometer itu turut membabitkan staf UMSKAL, Mohd Mazlan Ahmad dan staf Tricor Trustco (Labuan) Ltd, Mohd Zaidi Diding.
Kalbin tidak lupa mengucapkan tahniah dan syabas kepada SM Enjis Lakum dan AJK Penganjur yang berjaya melaksanakan program tersebut sebagai simbolik semangat patriotik warga PKL.
“PKL akan mengadakan pelbagai program yang memberi manfaat kepada staf dan ahli keluarga sempena Hari Kemerdekaan,”katanya.