Suami isteri maut, motosikal bertembung pacuan empat roda

MAUT ... Mangsa suami isteri yang maut dalam nahas itu.

KOTA BELUD: Sepasang suami isteri yang menaiki motosikal maut selepas bertembung dengan sebuah kenderaan pacuan empat roda di Jalan Berungis – Kota Belud berhampiran Kampung Lebak Moyoh, di sini.

Dalam kejadian jam 12.30 tengah hari itu, kedua-dua mangsa yang berusia 29 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 12.45 tengah hari.

Katanya, susulan laporan itu, sepasukan lapan anggota dan pegawai bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Kemalangan melibatkan kenderaan jenis motosikal Yamaha 125 yang bertembung dengan kenderaan jenis Toyota Land Cruiser.

“Terdapat tiga mangsa dalam kejadian ini iaitu pemandu kenderaan Land Cruiser yang tidak mengalami sebarang kecederaan manakala dua mangsa menaiki motorsikal disahkan meninggal dunia oleh pasukan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, di sini.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Katanya, pasukan operasi kemudiannya menjalankan pemeriksaan lanjut bagi memastikan tiada lagi kemerbahayaan lain sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.23 petang.

scroll to top