SUP Adakan Lawatan Rasmi Ke ESSCom

BINCANG: Zulkapli (tengah) bersama Ahmad Fuad dan Jamaluddin ketika lawatan ke ESSCom.

LAHAD DATU: Setiausaha Persekutuan Sabah (SUP) Dato’ Dr. Zulkapli Mohamed mengadakan lawatan rasmi ke Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) di sini hari ini.

Beliau yang diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Dr. Jamaluddin Mohd Ali, tiba di perkarangan pejabat ESSCom kira-kira jam 9.30 pagi.

Ketibaan beliau disambut oleh Komander ESSCom Datuk Ahmad Fuad Othman dan pegawai-pegawai kanan yang lain.

Dalam lawatan itu, beliau diberikan taklimat mengenai peranan dan hala tuju ESSCom dalam hal ehwal keselamatan di kawasan pantai timur Sabah khususnya dalam mengawal dan mengekang aktiviti jenayah rentas sempadan membabitkan aktiviti jenayah penculikan oleh kumpulan Abu Sayyaf yang berpangkalan di Selatan Filipina yang disampaikan oleh Ketua Staf Pusat Operasi ESSCom Brig. Jen Azhar Tahir di ESSCom Fushion Center (EFC).

Lawatan itu diakhiri dengan sesi menandatangani buku pelawat dan penyampaian cendera kenangan oleh warga ESSCom yang diwakili oleh Jamaluddin kepada Zulkapli.

Terdahulu, Zulkapli telah dibawa melawat ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Sri Perdana bagi meninjau mengenai program pemberian vaksin di daerah ini.

Dalam lawatan itu beliau diberikan ‘walking briefing’ oleh petugas kesihatan yang bertugas di pusat berkenaan.

scroll to top