Suspek kes dadah, positif Covid-19 diburu polis

KINABATANGAN: Seorang suspek kes dadah yang dikenakan tahanan kuarantin apabila didapati positif Covid-19, diburu polis selepas melarikan diri dari Hospital Kinabatangan, di sini, hari ini.

Suspek dikenali sebagai Suhin Mursidi, 37, yang berasal dari Filipina itu dipercayai melarikan diri kira-kira jam 2 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, suspek terbabit ditahan dalam operasi yang dijalankan Jumaat lalu atas kesalahan dadah.

Katanya, suspek ditahan di sebuah ladang di daerah ini selepas didapati memiliki dadah seberat 30.21 gram.

“Suspek dibawa ke Hospital Kinabatangan untuk menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum dibawa ke lokap.

“Bagaimanapun, suspek yang dikesan positif Covid-19 diberikan rawatan sebelum dikuarantin di Hospital Kinabatangan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Dzulbaharin berkata, suspek dipercayai melarikan diri melalui pintu belakang wad lelaki hospital berkenaan.

Katanya, ketika kejadian suspek memakai baju T-shirt warna hitam dan berseluar Jeans dan operasi mengesan suspek dilancarkan termasuk menggunakan bantuan Unit Anjing Pengesan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta supaya menyalurkan kepada IPD Kinbatangan di talian 089-561890.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan,” katanya.

scroll to top