Oleh MARIAYATI MURSIDI
KOTA KINABALU: Tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan mencetuskan kluster baharu COVID-19 di Sabah hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Kluster Lebuh Empat, Sandakan melibatkan anggota IPD Sandakan dan orang kena tahan (OKT) di Lokap IPD Sandakan.
“Kes indeks merupakan OKT lelaki, 63, yang disahkan positif COVID-19 (RTK-Antigen) dalam saringan OKT dan didaftarkan pada 5 Ogos 2021 hasil saringan OKT.
“Saringan kontak dijalankan dengan mengambil 122 sampel. Daripada jumlah itu, 50 sampel dikesan positif, termasuk 39 kes baharu hari ini iaitu 35 OKT dan empat anggota IPD Sandakan. Manakala, baki 71 sampel didapati negatif,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, satu lagi kluster baharu melibatkan kluster jenis komuniti iaitu Kluster Sarikan, Nabawan.
Katanya, kes indeks adalah lelaki, 34, yang disahkan positif COVID-19 pada 3 Ogos 2021 setelah bergejala demam, sakit tekak, selesema, batuk, hilang deria rasa dan bau sejak 27 Julai 2021.
“Daripada 48 kontak yang disaring, 14 individu dikesan positif termasuk satu kes baharu hari ini dan telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut dan pengasingan. Manakala, 34 individu masih menunggu keputusan saringan pertama,” katanya.
Sementara itu, Sabah merekodkan 13 kes kematian dan sebanyak 1,255 kes positif baharu COVID-19.
Beliau berkata, enam kes kematian dilaporkan di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau, dua kes di Sandakan manakala masing-masing satu kes di Semporna dan Sipitang.