Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa bantu ringankan beban penduduk Kg. Kigiok-Solong Ranau 

RASMI ... Perasmian Projek Bekalan Air Bersih Etiqa disempurnakan oleh Aldo Kok dan disaksikan oleh Zawahir Abdullah.

KEMELUT penduduk Kampung Kigiok-Solong Ranau selesai dan kini boleh menarik nafas lega dengan perlaksanaan Projek Bekalan Air Bersih Etiqa.

Projek ini merupakan Program Tanggungjawab Sosial Korporat Etiqa yang dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM) bertujuan untuk menamatkan kemelut Bekalan air Bersih serta membantu meringankan beban penduduk setempat.

KENANGAN … Gambar kenangan masyarakat Kg Kigiok-Solong Ranau bersama Aldo Kok dengan Zawahir Abdullah.

Sejak lebih 20 tahun yang lalu, penduduk Kg Kigiok-Solong bergantung kepada sumber bekalan air bukit daripada anak sungai berhampiran.

Kemelut masalah kekurangan bekalan air berikutan peningkatan drastik jumlah penduduk terutamanya kerana pembinaan sekolah berasrama penuh berhampiran kampung itu beberapa tahun lalu.

KEMUDAHAN … Aldo Kok bersama Zawahir membuka pili paip air tangki dan melihat sendiri air yang telah melalui proses Membrane Water Filter System.

Masalah ini ditambah dengan keadaan paip yang lama telah uzur dan sering bocor sentiasa menimbulkan masalah kekurangan air kepada penduduk khususnya di musim kemarau apabila tekanan air yang turun dari anak sungai berdekatan terlalu rendah untuk disalurkan ke rumah-rumah penduduk kampung.

Proses penampahbaikan ini melibatkan pemasangan paip baru sejauh hampir 9 kilometer, termasuk pembinaan tangki air graviti yang dilengkapi sistem penapis air membran atau Membrane Water Filter System bagi memastikan kualiti air yang disimpan sentiasa dirawat dan tidak tercemar.

BANTUAN … Penyerahan simbolik bantuan kepada masyarakat berupa pek makanan dan wang tunai disampaikan oleh Adrian Desmond Zainal Khong bersama Aldo Kok.

Stand Pipe juga turut dibina berhampiran rumah pam bagi memberi kemudahan kepada penduduk kampung untuk mengambil air secara terus dari tangki simpanan.

Perasmian Projek Bekalan Air Bersih Etiqa ini telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Wilayah Sabah Etiqa Insuran dan Takaful, Aldo Kok dan disaksikan dengan Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM), Zawahir Bin Abdullah.

SERAH … Penyerahan simbolik mock Program Air Graviti Etiqa 2023 disampaikan Aldo Kok kepada Ketua Kg. Kigiok, Ahidi Kasaman.

Agak menarik, dalam majlis ini turut diadakan majlis penyerahan bantuan sebanyak 250 bakul makanan kepada penerima dari sekitar kawasan Kg. Kigiok-Solong Ranau dan kanak-kanak lingkungan 6 tahun ke 11 tahun diraih melalui Program Back To School tahun 2023 iaitu penyerahan sebanyak 100 beg beserta alat tulis.

SUMBANGAN … Simbolik penyerahan sebanyak 100 beg beserta alat tulis kepada anak-anak Kg Kigiok-Solong Ranau disempurnakan oleh Aldo Kok.

Turut hadir bersama Director of Agency Malaysia East Etiqa Insuran and Takaful, Adrian Desmond Zainal Khong, wakil Islamic Aid Malaysia (IAM) Sabah, Ustaz Roslan Awang, Pengerusi JPKK Kg Kigiok, Jasnih Litah, Ketua Kg Kigiok, Ahidi Kasaman dan masyarakat setempat.

scroll to top