PAPAR: “Adoi sakittt….ada rasa pedas masa kena cucuk!”
Dengan mata sepet yang nampak hampir sebaris di bawah keningnya, penerima vaksin, Huo Che Chuan, 42, memberi reaksi tersebut ketika ditanya bagaimana keadaannya ketika dia disuntik vaksin Covid-19, jenis Sinovac.

AMZA AQILLA .. Menerima vaksin Sinovac dalam kenderaan.
“Saya tidak takut vaksin, jarum ini supaya tidak kena Covid-19,” katanya dengan yakin.
Sepanjang 20 minit berada dalam program itu, Chuan yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU) anggota badan kelihatan tenang, namun telatah comelnya ketika disuntik mencuri perhatian lensa kamera media di lokasi.
Anak kelima daripada 10 beradik itu tinggal bersama kakaknya di Kg Ulu Kimanis Batu 14, bersebelahan dengan lokasi program jangkauan CITF, SJK (C) Cheng Ming Papar.
Dia ditemani abangnya, Ma’aruf Huo Abdullah, 46, untuk vaksinasi melalui Program Outreach Pendaftaran dan Vaksinasi Covid-19 CITF Daerah Papar.
Berbeza dengan Chuan, seorang lagi OKU, Amza Aqilla Engelbert, 23, dari Kg Mandubai Bt 14 Ulu Kimanis menerima vaksin sama di dalam kenderaan bapanya, Engelbert Simok.
Dia yang merupakan OKU Autisme juga memahami tujuan dia divaksin setelah diberi penjelasan daripada ahli keluarga.
Turut mendapatkan vaksinasi tersebut ialah warga emas OKU, Bin Gat Tinggalung, 92, yang kehilangan kaki kanan akibat jangkitan kuman, diiring petugas Jabatan Sularelawan Malaysia (Rela) menggunakan kerusi roda.

CEKAL…Bin Gat tetap cekal hadir ke program outreach tersebut untuk mendapatkan vaksinasi.
Melihat kepada komitmen dan solidariti golongan OKU ini, meski berdepan kesukaran untuk bergerak dengan kudrat sendiri tetapi mereka tetal cekal mendapatkan vaksinasi dengan penuh rasa tanggungjawab terhadap negara.
Jadi, atas alasan apa lagi yang mahu terus dipertahankan oleh golongan antivaksin? Daftar dan vaksin dengan segera demi melindungi diri dan orang di sekeliling.-Penerangan.