Tenom Capai Vaksinasi 80 Peratus Oktober Ini

VAKSIN....Jururawat, Patricia James dan Rositah Jaintang membawa vaksin Sinovac menyeberangi sungai deras dengan jambatan gantung lebih 200 meter.

TENOM: Program vaksinasi Covid-19 di daerah ini bakal mencapai sasaran 80 peratus menjelang Oktober ini.

Menurut Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), Mas Syazwan Masood dalam usaha mencapai sasaran tersebut, pihaknya menerusi Pusat Kawalan Bencana (PKOB) Daerah akan terus memperkasa program vaksinasi dengan strategi mopping up.

MAS SYAZWAN ketika bercakap kepada media.

“Setakat hari ini, kita berjaya mencapai 70 peratus penduduk yang divaksinasi dan bakinya dijangka akan diselesaikan menjelang Oktober depan.

“Tenom antara daerah yang terawal membuat program outreach ke kampung-kampung sejak Mei lalu dan purata penerima vaksin mencecah 1,600 sehari.

“Oleh itu, tidak hairanlah jika PPV kita sekarang ini dilihat lengang dan kurang pengunjung kerana hampir semua penduduk di kawasan pekan telah divaksinasi.

“Strategi mopping up ini lebih kepada usaha mencari saki baki penduduk yang belum divaksin di kawasan-kawasan yang terpencil,” jelasnya.

Masazwan yang juga Timbalan Pengerusi PKOB Daerah Tenom mendedahkan selain lima Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang beroperasi, pihaknya juga memperhebat program-program outreachBadan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) setiap hari.

“Lima PPV yang beroperasi di Temom dan Kemabong iaitu Dewan Antenom, Klinik Kesihatan Ibu dan Anak (KKIA), Klinik Kesihatan Kemabong, Klinik Kesihatan Kuala Tomani dan Hospital Daerah.

“Di samping itu, kita juga mendapat kerjasama daripada dua buah klinik swasta yang menyediakan vaksinasi kepada penduduk.

SUNTIK …Niuh ketika diberikan vaksin Covid-19 oleh Jururawat, Heliridah Lai Ah Lang dari KKIA Tenom.

“Ini tidak termasuk program-program outreach CITF di kampung-kampung dengan purata dua lokasi setiap hari yang kita namakan sebagai mopping up,” ujarnya dalam Program OutreachVaksinasi CITF di Kg Pangi.

Mengetuai program outreach CITF di kampung tersebut, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Francesca Primus Chew menjelaskan seramai 15 penduduk di kampung itu diberikan dos pertama vaksin jenis Sinovac termasuk dua warga emas yang terlantar.

“Dalam mopping up jumlah vaksinasi memang sedikit kerana kita berusaha mengesan masyarakat yang belum menerima vaksin di kawasan yang jauh di pedalaman.

“Pada hari ini, KKM menggerakkan 18 petugas termasuk sukarelawan MyVac seawal jam 7.30 pagi bersama-sama anggota Rela dan APM menaiki keretapi dari Pekan Tenom.

“Dalam program ini, para petugas menyusuri denai, melalui tiga jambatan gantung yang menyeberangi sungai deras untuk ke rumah salah seorang penerima vaksin,” ujarnya.

SUMBANGAN…Siti (kanan) menyampaikan sumbangan makanan ringan kepada petugas CITF Kg Pangi melalui Francesca.

Warga emas, Niuh Managang, 93, dan Monan Binguengun, 80, merupakan antara penerima vaksin dos pertama yang diberi terus ke rumah masing-masing.

Hadir sama pada program berkenaan ialah Timbalan Pegawai Kewangan Persekutuan Sabah, Siti Norhaimi Osli yang menyumbang peralatan sanitasi Covid-19 serta makanan ringan kepada petugas KKM.-Penerangan.

scroll to top