Terapkan Nilai Harmoni Dalam Karya

KENANGAN.. Hasmin Azroy bergambar kenangan drngan Robert sejurus selepas kunjungan itu.

KOTA KINABALU:  Pembantu Menteri Kerja Raya Sabah, Datuk Robert Tawik menggesa para penulis negeri ini, agar menerapkan nilai harmoni dalam karya sesuai keperluan masyarakat.

Katanya, ini juga selaras dengan dasar kerajaan hendak melahirkan masyarakat bersatu padu merentas sempadan kaum, agama dan warna kulit.

“Saya fikir penulis mesti peka dengan keperluan semasa, lebih-lebih lagi Perdana Menteri,  Dato Seri Ismail Sabri telah menyarankan agar seluruh rakyat Malaysia bersatupadu dan berharmoni sebagai sebuah warga Keluarga Malaysia yang besar.

Katanya, hanya dengan bersatu padu dan hidup berharmoni segala dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lancar seterusnya negara berada di landasan yang tepat untuk menjadi sebuah negara maju.

Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh beberapa orang jawatankuasa tertinggi Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA) yang diketuai Hashim Azroy Abdullah, Ketua Penerangan BAHASA,  di pejabat beliau di sini, pagi semalam.

Robert yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri N. 40 Bingkor, berkata, usaha Badan BAHASA menerbitkan buku kumpulan  puisi bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ yang turut memuatkan karya puisi pemimpin negeri Sabah bukan sahaja usaha melibatkan hierarki kepimpinan dalam konteks ranah sastera Sabah, tetapi turut menunjukkan sokongan barisan kepimpinan dalam aktiviti kesusasteraan yang berimpak tinggi.

“Saya suka kegiatan sastera sebegini, dan malah saya juga turut memberikan sumbangan yang termampu bagi membantu penerbitan buku antologi puisi ‘Keluarga  Malaysia’ ini supaya aspek kesenian terus dimanfaatkan sebaik-baiknya untuk kebaikan sastera dan Kesenian negeri ini,” katanya.

Menurut Robert,  sejak dahulu lagi sastera bukanlah sesuatu yang asing dalam masyarakat. Malah dalam masyarakat tradisional, sastera turut digunakan dalam mantera, upacara tradisi dan sebagainya.

“Ini menguatkan lagi komitmen Badan BAHASA untuk mengembalikan peranan itu dengan mengusahakan penerbitan buku yang memuatkan puisi bertemakan ‘Keluarga Malaysia’ supaya lebih ramai masyarakat mendekati dan menghayati karya sastera,”katanya.

Bagaimanapun, peranan sastera kini dalam masyarakat semakin berkurangan, apabila tumpuan kerajaan lebih menumpu kepada pembangunan sains dan tekonologi terutama dalam sistem pendidikan.

“Namun,  akhir-akhir ini kita mula kembali fokus kepada peranan sastera kerana kita mulai sedar peranan bidang ini dalam membangun sahsiah masyarakat  dan membentuk budaya masyarakat yang lebih berbudi, harmoni dan berpadu,” katanya.

scroll to top