Orang Ramai Diingatkan Terus Patuhi SOP, Disiplinkan Diri Cegah COVID-19 

TANDATANGANI BUKU LAWATAN ... Dato’ Idris menandatangani buku lawatan sambil diperhatikan oleh Andrew Liew (kiri), Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah SAC Yusuh Mat Tais dan Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Mohd Azhar Hamin (kanan).

Oleh YUSOP TEPPO

SANDAKAN: Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Sabah Tan Sri Andrew Liew mengingatkan orang ramai untuk bertindak bijak mendisiplinkan diri melalui sekatan pergerakan ‘lockdown’ kendiri serta mematuhi arahan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Penularan wabak COVID-19 yang semakin meruncing di negara ini, dengan mengambil tindakan itu merupakan antara langkah yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kebarangkalian dijangkiti COVID-19,” katanya.

Andrew Liew berkata setiap individu mempunyai peranan untuk memastikan penurunan kes COVID-19, termasuk patuh kepada SOP seperti memakai pelitup muka, kerap membasuh tangan, mengamalkan penjarakan sosial dan fizikal di samping mengelakkan dari berkumpul terutama di tempat awam.

“Orang ramai tidak boleh memandang pandemik berkenaan secara remeh walaupun jentera perubatan dan pihak keselamatan mampu menanganinya dengan baik,” katanya selepas menghadiri Program ‘Town Hall Discussion’ secara maya di Rumah Kelab Polis IPD Sandakan, kelmarin.

Program secara maya yang disiarkan secara langsung bermula jam 10 pagi melalui laman facebook Polis Daerah Sandakan itu telah membariskan empat panel iaitu Pesuruhjaya Polis Sabah Dato’ Idris Abdullah, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Unit Promosi Kesihatan Sabah Ab. Razak Md Noh, Ketua Pegawai Pendidikan Daerah Sandakan Dr. Dalmansa Haji Tahil dan Timbalan Presiden 1 Majlis Perbandaran Sandakan Faridah Giau.

Sementara program dua jam itu bertajuk ‘Melestarikan Pembudayaan Norma Baharu Di Era Pandemik COVID-19’ PDRM Bersama Masyarakat di moderator oleh Penerbit Rancangan yang juga Penyampai Radio Sandakan FM Nurkisa Madkassim.

Dalam pada itu, Andrew Liew juga Presiden Dewan Perniagaan Cina Bersatu Sabah dan ahli Jawatankuasa Penasihat Ekonomi Negeri Sabah memuji usaha Polis Di Raja Malaysia (PDRM) Sabah yang berjaya menganjurkan program itu sekaligus mendidik orang ramai agar terus mematuhi SOP dalam mencegah penularan COVID-19.

Beliau juga mengucapkan sekalung tahniah kepada Dato’ Idris Abdullah yang dilantik sebagai Pesuruhjaya Polis Sabah yang baharu.

Andrew Liew turut menyokong tiga fokus utama Dato’ Idris untuk diterapkan kepada pegawai kanan dan anggota selepas menerajui PRDM Kontinjen Sabah.

“Ini akan memantapkan lagi usaha polis Sabah dalam pencegahan jenayah, cekap menumpaskan aktiviti jenayah, meningkatkan integriti, penyampaian perkhidmatan  masyarakat dan membantu serta menyokong dasar kerajaan terutamanya berhadapan pandemik ini,” katanya.

Turut Hadir program itu, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Kontinjen Sabah SAC. Yusuh Mat Tais, Ketua Polis Daerah (KPD) Sandakan ACP. Mohd Azhar Hamin, , Timbalan KPD Sandakan Superintenden (Supt) Abdul Fuad Abdul Malek, dan PT Kepolisan Komuniti JPJKK IPK Sabah Supt. Hajah Kalsom Haji Idris dan pegawai kanan polis.

scroll to top