Tiga bulan untuk siapkan laporan awal

  • Pelaksanaan Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warga Asing di Sabah

PUTATAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menegaskan beliau akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi melengkapkan laporan awal pelaksanaan Jawatankuasa Khas Pekerja Asing Tanpa Dokumen dan Warga Asing di Sabah.

Jeffrey berkata, beliau yakin dengan tempoh tiga bulan yang ditetapkan itu akan mampu mengumpulkan cadangan bagi menyelesaikan isu warga asing tanpa dokumen.

Katanya, antara yang bakal ditemui termasuk majikan, badan bukan kerajaan (NGO) dan pemimpin masyarakat serta pemimpin politik bagi mendengar pandangan mereka sebagai sebahagian daripada penyelesaian masalah ini.

“Saya jangka akan bertemu dengan pihak berkepentingan, orang perundangan untuk undang-undang apa yang perlu dilaksana dan perlu penguat kuasa untuk tahu apa masalah mereka.

“Diharap dalam tempoh tiga bulan sesuatu perkara dapat dilaksanakan dan selepas itu jalan penyelesaian dapat dicari” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis pelancaran inisiatif belia prihatin alam sekitar, We Be-Leaf Together (WBT) di Tabika Perpaduan Taman Jumbo, Petagas, di sini, pada Sabtu.

Sementara itu, ketika ditanya berhubung saranan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan berhubung pelaksanaan penguatkuasaan supaya pendatang asing tanpa izin (PATI) terus dihantar balik ke negara asal, Jeffrey berkata, beliau bersetuju.

Namun katanya, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang terlebih dahulu sebelum langkah penyelesaian mengikut keperluan dapat dilaksanakan.

“Sebelum ini kita tidak mempunyai data lengkap mengenai pekerja dan penduduk asing yang ada di sini.

“Sebab itu, kita perlu bekerjasama dengan semua orang kerana ini masalah bersama bukan kerajaan saja.

“Masalah kepada orang asing juga sebab kita tidak mahu mereka jadi mangsa dieksploitasi,” katanya.
Jeffrey berkata, tidak adil jika ada pihak mengatakan cadangan kad warga asing adalah sama seperti Pas Sementara Sabah (PSS) yang dicadangkan kerajaan terdahulu.

“Kita rambang saja bercakap tetapi fokus saya mengenai pekerja asing,” katanya.

scroll to top