Tiga gudang musnah terbakar

KOTA KINABALU: Tiga gudang yang menjual pelbagai peralatan dan perkakas keperluan rumah di Jalan Tuaran Bypass, di sini, musnah terbakar, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi itu, kebakaran di bangunan yang terletak berhampiran pejabat Asia Times Sdn Bhd itu turut memusnahkan sebuah gudang yang menjual barangan runcit secara borong.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 6.29 pagi.

Katanya, sepasukan 21 anggota dan pegawai bersama tiga jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu dan BBP Lintas terus dikerah ke lokasi kejadian.

“Operasi pemadaman segera dijalankan pasukan operasi bagi mengawal api daripada terus merebak ke beberapa lagi gudang berhampiran.

“Api kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 8.20 pagi dan operasi pemadaman masih lagi diteruskan,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Menurutnya, pasukan operasi masih giat menjalankan kerja-kerja pemadaman bara api bagi mengelakkan tercetusnya kemungkinan kebakaran semula.

Katanya, setakat ini, tiada sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan dalam insiden ini.

“Tiada mangsa yang terlibat dan sebarang maklumat terkini akan di kemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

scroll to top