Oleh MARIAYATI MURSIDI
PENAMPANG: Tiga daripada empat tahanan yang melarikan diri daripada pusat kuarantin berjaya ditahan kira-kira jam 5.45 petang tadi.
Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, ketiga-tiga tahanan yang lengkap berpakaian kemeja-T dan berseluar ditahan di Lorong Wijaya 1, Taman Wijaya, Manggatal.
Katanya, mereka yang ditahan ialah Arripian Abdul, 27, Mohd Diyazmir Razif Rudyaz, 20, dan Salman Arip,19.
“Kejayaan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) IPD Penampang telah dibantu oleh pasukan daripada IPD Kota Kinabalu dan Ketua Polis Balai Manggatal dalam mengesan ketiga-tiga tahanan terbabit,” katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.
Sementara itu katanya, pihak polis sedang giat memburu seorang lagi tahanan yang bolos iaitu Mohd Rahman Basir, 24.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai tahanan yang masih bolos itu untuk segera menghubungi bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang di talian 088-723961 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.
Terdahulu itu, keempat-empat tahanan terbabit melarikan diri ketika dikuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC) Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (ILMAN) di sini kira-kira jam 3.30 pagi tadi.
Mereka dipindahkan dari lokap Balai Polis Penampang ke PKRC berkenaan pada 24 Julai lalu, selepas disahkan positif COVID-19.