Tindakan Pemimpin DAP Keterlaluan

Oleh ABD NADDIN SHAIDDIN

KOTA KINABALU:  Tindakan beberapa ahli Parlimen DAP mengganggu dan menjerit ketika Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddn Yassin membacakan Al-Fatihah kepada semua mangsa COVID-19 pada hari pertama Sidang Khas Parlimen diisifatkan sebagai amat keterlaluan, tidak beradab dan sukar diterima.

HAJI ABDUL HAKIM GULAM HASSAN

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu,) Haji Abdul Hakim Gulam Hassan berkata tindakan mereka itu melanggar prinsip Rukun Negara iaitu Kesopanan dan Kesusilaan.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Agama Bersatu Sabah berkata wakil rakyat DAP itu perlu mengetahui adab dan menghormati majlis dan sikap kurang sopan kepada pemimpin negara itu tidak boleh ditoleransi.

Sepatutnya jika ada bantahan, wakil rakyat pembangkang itu perlu menunggu sehingga Tan Sri Muhyiddin selesai membacakan surah Al-Fatihah khususnya untuk umat Islam yang terkorban  akibat Covid-19.

Menurut Abdul Hakim, sikap wakil DAP yang menjerit dan mengganggu Perdana Menteri itu menunjukkan bahawa mereka tidak mampu memimpin negara kerana tidak memahami sensitiviti rakyat.

Katanya, sikap Ahli Parlimen DAP yang tidak menghomati majlis itu membuktikan sikap sebenar mereka yang tidak pandai mengurus kesejahteraan rakyat.

Tindakan ahli-ahli Parlimen DAP itu juga mendapat kecaman daripada Netizen selepas video pemimpin DAP itu tular di laman media sosial.

Di dalam video berkenaan, bacaan Surah Al-Fatihah oleh Muhyiddin Yassin tersekat selepas Lim Guan Eng dan beberapa lagi pemimpin DAP berteriak sambil membangkitkan perkataan ‘point of order’.

scroll to top