Tingkatkan ekonomi menerusi pelaburan domestik GLC

SALLEH

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Usukan, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menegaskan pelaburan domestik membabitkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) akan mampu mempertingkatkan ekonomi negara.

Salleh berkata, hasil daripada penularan pandemik Covid-19 sebelum ini, pergerakan di dalam dan luar negara yang terbatas memberi kesan yang amat dahsyat kepada ekonomi global.

Katanya, walaupun prosedur operasi standard (SOP) sudah tidak lagi dipraktikkan selepas pengisytiharan fasa endemik namun kesannya masih dirasai sehingga hari ini.

“Ia memberi kesan kepada permintaan terhadap barangan dan perkhidmatan di dalam pasaran menurun secara signifikan.

“Akibatnya, produksi barangan berkurangan, pendapatan firma-firma perniagaan serta isi rumah menurun,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi laman facebok rasminya.

Salleh berkata, situasi itu turut menyumbang kepada hasil Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) terjejas teruk.

“Sesetengah negara yang bergantung tinggi terhadap sektor pelancongan seperti Maldives sebagai contoh mencatatkan pertumbuhan KDNK negatif melebihi 30 peratus.

“Ramai sarjana memberikan pandangan bahawa intervensi ekonomi seperti pakej rangsangan fiskal adalah penting untuk melawan keadaan ekonomi yang perlahan dan menakankan bahawa peranan pihak kerajaan adalah sangat penting,”katanya.

Salleh berkata, secara realitinya, negara lain di seluruh dunia turut mengalami keterbatasan keupayaan kewangan dalam melawan keadaan ekonomi yang perlahan dengan meningkatkan perbelanjaan di dalam ekonomi.

Justeru itu katanya, dalam sudut yang lain, ada yang berpandangan bahawa sektor swasta, terutamanya syarikat-syarikat yang besar seperti syarikat yang tersenarai dalam Bursa Malaysia serta syarikat-syarikat milk kerajaan (GLCs) perlu turut sama memainkan peranan dalam menyokong proses pemulihan ekonomi.

“GLCs perlu memainkan peranan dengan melabur dalam pelbagai aktiviti ekonomi pada Ketika ini.

“Antaranya, keterbatasan kewangan sektor awam untuk terus membuat perbelanjaan yang tinggi dalam jangka masa panjang.

“Oleh demikian, pelaburan di dalam sektor-sektor strategik yang terjejas teruk seperti pelancongan boleh membantu merangsang aktiviti sektor berkenaan dan mengelakkan sesetengah perniagaan dari gulung tikar,” katanya.

Salleh berkata, tanpa pelaburan-pelaburan itu, ia menyebabkan sesetengah syarikat-syarikat yang lebih kecil gulung tikar.

“Dengan adanya pelaburan dari GLC, impak dahsyat COVID-19 dan kelembapan ekonomi semasa dapat diminimakan,” katanya.

Selain itu, Salleh berkata, pelaburan besar dari GLC berupaya membantu meningkatkan perbelanjaan dan permintaan di dalam ekonomi.

“Justeru, peningkatan pendapatan isi rumah dan firma-firma perniagaan serta hasil kutipan cukai kerajaan dan penurunan pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia pada tahun 2020.

“Pelaburan dari GLC menyokong proses pemulihan ekonomi negara yang diusahakan pihak kerajaan. Apabila pandemik melanda dunia, jumlah pelaburan langsung asing yang memasuki negara mencatatkan penurunan yang sangat tinggi.

“Sebagai contoh, pada tahun 2020 sahaja, jumlah FDI yang memasuki Malaysia dilaporkan telah turun melebihi 50 peratus dari tahun sebelumnya,”katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, untuk melawan keadaan yang perlahan pelaburan langsung domestik perlu ditingkatkan untuk melawan mengimbangi kekurangan pelaburan langsung asing.

“Oleh itu, GLC boleh memainkan peranan penting,” ujarnya.

scroll to top