Tujuh lagi lokaliti kena PKPD

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Tujuh lagi lokaliti dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berkuat kuasa 3 Julai sehingga 16 Julai 2021 selaras dengan keputusan Kerajaan Persekutuan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, lokaliti-lokaliti terbabit adalah dua lokaliti di Tawau iaitu Kampung Mangga, Nasip Kita dan Kampung Kijang, Balung; Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu; Kampung Lingkodon, Kota Belud; Kampung Pintas Kubu, Beaufort; Kampung Muhibbah, Putatan; dan Kampung Goshen, Kota Marudu.

“Bagi situasi semasa kes COVID-19 di dua lokaliti di Tawau, sebanyak sembilan kes direkodkan Kampung Mangga, Nasip Kita selepas 58 individu disaring manakala di Kampung Kijang, Balung 17 individu telah menjalani ujian saringan dan 15 daripadanya disahkan positif COVID-19,” katanya dalam kenyataan media pada Khamis.

Di Taman Jaya Diri, Kota Kinabalu. seramai 27 individu telah menjalani ujian saringan dan 17 daripadanya disahkan positif COVID-19, manakala di Kampung Lingkodon, Kota Belud, KKM telah melaksanakan 28 ujian saringan dan lapan daripadanya disahkan positif COVID-19.

Bagi situasi semasa kes COVID-19 di Kampung Pintas Kubu, Beaufort, KKM telah melaksanakan 26 ujian saringan dan sembilan daripadanya disahkan positif COVID-19.

Di Kampung Muhibbah, Putatan, seramai 17 individu telah menjalani ujian saringan dan 12 daripadanya disahkan positif COVID-19, dan di Kampung Goshen, Kota Marudu, KKM telah melakukan 57 ujian saringan dan 13 daripadanya dikesan positif COVID-19 dengan kadar kebolehjangkitan yang tinggi di lokaliti berkenaan.

“Pelaksanaan PKPD bertujuan untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti-lokaliti berkenaan,” katanya.

scroll to top