Henti Polemik Pertukaran Pengarah Kesihatan Sabah- Masidi

MASIDI MANJUN

KOTA KINABALU: Pertukaran bekas Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr. Christina Rundi ke ibu pejabat di Kementerian Kesihatan (KKM) tidak ada kena mengena dengan isu kebenaran ‘dine-in’ yg diputuskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid Negeri yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Masidi Manjun yang memberi penjelasan ini berkata Dr. Christina Rundi antara beberapa pegawai tinggi yang dikenalpasti ada potensi untuk memegang jawatan yang lebih tinggi di KKM.

“Beliau ditukar ke Ibu Pejabat sebagai persediaan untuk mengisi salah satu jawatan penting akhir tahun ini apabila penyandangnya bersara.

“YAB Ketua Menteri Sabah/Kerajaan Negeri sendiri telah merayu agar Dr. Christina dikekalkan di Sabah dalam keadaan kita sedang menghadapi ancaman pandemik Covid-19 yang serius.

“Saya sendiri telah menghubungi Ketua Pengarah KKM, Tan Sri Dr. Noor Hisham, merayu agar Dr. Christina dikekalkan atau sekurang kurangnya bertukar hanya pada hujung tahun. Noor Hisham memaklumkan keputusan ini adalah diperingkat Ketua Setiausaha Negara yang melibatkan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi lain Kerajaan Pusat.

“Kerajaan Pusat secara rasmi memaklumkan Kerajaan Negeri bahawa rayuan Kerajaan Negeri tidak dapat dipertimbangkan atas sebab-sebab keperluan perkhidmatan dan pergerakan pertukaran pegawai-pegawai tinggi di Kementerian yang terlibat,” katanya dalam memberikan kesimpulan terhadap isu pertukaran tersebut hari ini.

Masidi berkata pengganti Dr. Christina ialah Dr. Rose Nani Mudin yang berasal dari Papar, kedua ibu bapanya orang Kadazan.

“Beliau juga mempunyai latar belakang kepakaran yang sama dengan Dr. Christina,” jelasnya.

“Kita sayang dan mengiktiraf dedikasi kerjaya Dr. Christina, kerana itu Kerajaan Negeri merayu agar beliau dikekalkan.

“Tetapi kita menerima hakikat beliau juga seorang pegawai perkhidmatan awam yang tertakluk kepada pertukaran bila-bila masa untuk bertugas di tempat lain. Semasa mula-mula dilantik dalam perkhidmatan awam, semua pegawai kerajaan akur dengan syarat ini,” tambah Masidi.

Beliau berkata, polemik pertukaran ini perlu dihentikan agar Sabah menumpukan semua usaha mengurus dan melawan ancaman penularan virus Covid yang semakin merunsing.

“Dan kita harus memberi peluang kepada Pengarah Kesihatan Negeri baharu, Dr. Rose Nani untuk membuktikan kewibawaan dan kemampuannya mengurus ancaman Covid-19 ini, sama dengan peluang yang kita telah berikan kepada Dr. Christina,” kata Masidi.

scroll to top