Tun Sakaran Dandai Dirawat Di ICU Akibat COVID-19

TUN SAKARAN DANDAI

KOTA KINABALU: Bekas Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Sakaran Dandai kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini akibat jangkitan COVID-19 dan beliau dalam keadaan stabil, kata anaknya Datuk Seri Nasir Tun Sakaran.

Nasir berkata Tun Sakaran dimasukkan ke hospital itu pada 18 Ogos kerana disyaki dijangkiti COVID-19, sebelum dimasukkan ke ICU semalam bagi membolehkan Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 itu dipantau dengan rapi.

“Setakat ini kami anak-anak berhubungan dengan ayahanda Tun (Sakaran) seperti biasa menerusi panggilan video yang mana kami bertanya khabar kesihatan beliau, Alhamdulillah respons ayahanda Tun beliau dalam keadaan yang baik dan makan pun seperti biasa, terjaga.

“Baru sebentar tadi saya dapat buat panggilan video dengan ayahanda Tun mengatakan mohon doa supaya kesihatan (beliau) bertambah baik,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata keluarganya memohon kepada semua pihak agar mendoakan Tun Sakaran supaya kembali sihat seperti sedia kala.

Tun Sakaran, 91, berasal dari Semporna, berkhidmat sebagai Yang Dipertua Negeri Sabah ke-8 bermula 1 Jan 1995 hingga 31 Dis 2002 dan sebelum itu pernah menjadi Ketua Menteri Sabah Ke-8 pada 1994.-Bernama.

scroll to top