Tunda Kemasukan Kapal Asing Ke Pelabuhan Labuan, Kata Simsudin

SIMSUDIN SIDEK

Oleh HENRY BATING

LABUAN: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Labuan menggesa Pengerusi Lembaga Pelabuhan Labuan Datuk P. Kamalanathan agar menarik balik keputusan membuka semula pelabuhan itu kepada kapal asing.

Ketua Cabang PKR Labuan Simsudin Sidek berkata langkah itu dikhuatiri menjadi punca penularan wabak Covid-19 dengan varian baharu yang lebih berbahaya.

“Nyawa penduduk Labuan bukan untuk digadai demi kepentingan pihak tertentu,” katanya yang juga mantan Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Pelabuhan Labuan.

Simsudin menegaskan Labuan masih dalam peringkat pemulihan setelah bertungkus lumus melawan Covid-19 Varian Delta yang telah mengganas sehingga mengakibatkan kenaikan mendadak kes kematian di sini.

Jelasnya, situasi tersebut dapat dijadikan iktibar untuk dipelajari bagi mengelak keadaan seperti itu berulang.

Simsudin menambah, Pelabuhan Labuan seharusnya sedar bahawa Labuan hanya pulau kecil, pernah mencatat kadar peratusan tinggi jangkitan dan perlu dibendung termasuk menunda kemasukan kapal asing.

“Petugas barisan hadapan Labuan telah berkorban dan berjuang habis-habisan memerangi pandemik ini,” tegas Simsudin.

Jika Pelabuhan Labuan masih bertegas membuka pelabuhan kepada kapal asing, tegas Simsudin, maka segala perjuangan dan pengorbanan para petugas barisan hadapan di Labuan akan menjadi sia-sia.

scroll to top