Turun Padang Bantu Rakyat – Vivian

VIVIAN

Oleh MARIAYATI MURSIDI

SANDAKAN:  Ahli Parlimen Sandakan Vivian Wong Shir Yee menyeru Ahli Parlimen Libaran Datuk Zakaria Mohd Edris peka dan kerap turun padang serta memberikan khidmat selain membantu rakyat di kawasan secara langsung dengan menjaga kawasan Libaran sebaiknya.

Vivian mengemukakan saranan ini sebagai respon kepada kematian seorang penduduk di Kampung Kg Tanah Hitam, Batu 9, berhampiran gereja dekat sini yang dikhabarkan kepadanya, dan meminta bantuan daripadanya.

Katanya, dia mengetahui hal itu setelah dimaklumkan kepada pihaknya di mana beliau bersama dengan badan bukan kerajaan Pertubuhan Kebajikan Marhean Sandakan juga telah menyampaikan 40 bantuan bakul makanan kepada penduduk.

Menurutnya, bantuan bakul makanan itu disumbangkan oleh beberapa individu yang prihatin dan penderma di Sandakan dan segera memberi bantuan ke kawasan itu.

Tambahnya, sebagai ahli pemimpin kerajaan, Zakaria juga mempunyai peruntukan tahunan lebih RM3 juta sebagai Ahli Parlimen.

Kini, dengan tambahan RM300,000 lagi untuk mengedarkan bakul makanan, tetapi musibah berkenaan masih berlaku.

Beliau juga mendesak kepada Zakaria untuk memahami mata pencarian rakyat dan mendengarkan keperluan masyarakat di kawasan beliau semasa pandemik COVID-19, agar tidak terjadi kejadian malang yang serupa.

Vivian berkata, kawasan Parlimen Sandakan yang diwakilinya mempunyai puluhan ribu keluarga, tetapi pihaknya selaku ahli pemimpin di blok pembangkang hanya menerima atau disalurkan bantuan RM300,000 untuk membantu rakyat.

Katanya, apabila bantuan bakul makanan dibuka untuk permohonan kelmarin dan hingga sekarang, lebih dari 3,200 permohonan telah diterima yang benar-benar memerlukan bantuan ini.

“Walaupun saya bukan Ebit Liew dan yang lainnya sama-sama prihatin nasib rakyat selain Libaran bukan kawasan saya, saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memberikan bantuan setelah mengetahui kejadian yang amat sedih ini,” katanya.

Dalam pada itu, Vivian juga merayu kepada penduduk Sandakan yang telah memohon bakul makanan ataupun pengundi di Parlimen Sandakan dapat menunggu dengan sabar dimana pihaknya juga giat mengatur agar lebih banyak keluarga yang memerlukan dapat diberi bantuan sewajarnya.

Atas sebab ini, beliau juga meminta maaf kepada keluarga dan mereka yang gagal menerima permohonan ini dimana kumpulan keutamaan program bantuan ini adalah keluarga yang sangat miskin, ibu tunggal dan warga emas yang tinggal sendirian selain keluarga yang mempunyai anak atau keluarga berkeperluan khas dan OKU.

Pihaknya juga komited memastikan bahawa semua dana dan sumbangan akan diagihkan kepada rakyat dan diberikan sebanyak mungkin dan dapat membantu golongan sasar ini.

scroll to top