Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah 18 Dis Ini

LANCARKAN ... Toh Puan Norlidah (empat dari kanan) bersama Tun Juhar (tiga dari kiri) ketika melancarkan 'Go Red For Women'.

KOTA KINABALU: Majlis Sambutan Ulang Tahun Ke-40 Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah akan diadakan pada 18 Disember ini.

Presidennya, Datuk Eva Susau berkata, sambutan tersebut diadakan secara maya bermula jam 7 malam.

“Persatuan ini ditubuhkan sejak Ogos 1981 dan sehingga kini telah menghantar seramai 699 pesakit untuk menjalani pembedahan jantung.

“Kami berharap mempunyai pusat jantung kanak-kanak di Sabah bagi memudahkan operasi dan pembedahan yang tidak perlu lagi ke Kuala Lumpur.

“Di samping itu, kami juga berhasrat membina Rumah Transit untuk pesakit kanak-kanak dan pengiring agar mempunyai tempat berehat apabila tiba dari Kuala Lumpur atau semasa mendapatkan rawatan perubatan di Kota Kinabalu,” katanya selepas membuat kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin  di Istana Seri Kinabalu, kelmarin.

Tujuan kunjungan diadakan adalah untuk menjemput  Tun Juhar dan bersama isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni untuk menghadiri majlis berkenaan.

Pada kunjungan itu, Toh Puan Norlidah turut menyempurnakan Pelancaran ‘Go Red For Women’ iaitu platform komprehensif bagi meningkatkan kesedaran kesihatan jantung dan pemangkin perubahan kualiti kehidupan wanita di seluruh dunia..

Turut mengiringi beliau, Timbalan Presiden Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah, Abdul Ghani Haji Fadzil, Pakar Perunding Pediatrik Kardiologi, Hospital Queen Elizabeth II, Dr. Siva Rao,  Ahli Jawatankuasa, Annie Mok, Ahli Jawatankuasa, Saroja Palaniappan, Bendahari Kehormat, Dorin Thomas Stuel,  Setiausaha Kehormat,  Melinda Lo, Timbalan Setiausaha Kehormat, Angela Kok, Ahli Jawatankuasa, Penny Paul  dan Setiausaha Eksekutif, Fainis J. Ekol.-Penerangan.

scroll to top