Umno Kudat konsisten dan berpegang pada prinsip

CENDERA KENANGAN…Haji Akram (kanan) menyampaikan cendera kenangan kepada Datuk Ismarah sambil disaksikan oleh  Datuk Harun paling kiri dan kenamaan yang lain.

KUDAT: Umno Bahagian Kudat  terus konsisten dan berpegang kepada prinsip asal perjuangan parti, Ketua  Bahagian Umno Kudat,   Haji Akram Haji Ismail.

Katanya, walaupun berdepan cabaran getir pada 2018 sehingga ada yang menyatakan Umno akan berkubur, namun jati diri yang utuh di kalangan  ahli dan pemimpin-pemimpin sejati, Umno Kudat terus kukuh.

Akram mengucapkan  penghargaan dan terima kasih atas pengorbanan ahli dan pemimpin  yang tidak ternilai dalam memastikan Umno terus mendapat sokongan rakyat di bahagian Kudat.

“Tidak keterlaluan jika dikatakan Umno Kudat sedang menuju laluan kecemerlangan dan kegemilangan semula,” katanya ketika merasmikan Majlis Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kudat di Dewan Tun Mustapha dekat sini baru-baru ini.

Bagaimanapun, perlu diingat perjuangan  parti yang dibawa hendaklah sentiasa berada di landasan yang betul, berteraskan matlamat parti dan bukan kepentingan peribadi dan imbuhan semata-mata.

Beliau mengharapkan Umno di semua peringkat terus memantapkan  parti dan terus memperjuangkan dan merasakan denyut nadi rakyat agar Umno  Kudat terus relevan.

“Kita pernah mengalami kekalahan dan kekecewaan namun cukuplah sekali sahaja dan  perkara itu jangan lagi berulang,” katanya.

Meskipun senario politik hari ini banyak liku-likunya namun Umno  akan terus kuat jika ahli dan pemimpinnya terus  berpegang kepada prinsip dan perjuangan parti dan tetap setia bersama  bersama rakan-rakan komponen Barisan Nasionan BN yang lain.

Sehubungan itu,  Umno Bahagian Kudat menyatakan pendirian untuk terus mempertahankan kerusi yang dimenangi sejak sekian lama dan tidak mahu ia diberikan kepada parti-parti lain.

PERWAKILAN…Barisan Perwakilan dan Pemerhati hadir di majlis berkenaan.

“Tidak ada sebab mengapa kerusi itu harus diberikan kepada parti lain selain parti Umno/BN ,” katanya sambil melahirkan keyakinan  akar umbi mampu  menilai tahap sokongan kepada parti-parti yang bertanding dan tetap akan memilih Umno/ BN kerana yakin dengan perjuangan mereka.

Sementara itu,Ketua Umno Sabah Bahagian Kota Marudu Datuk Ismarah Madacassar bertindak sebagai Pemerhati Umno Negeri Sabah ke Mesyuarat Persidangan Umno Bahagian Kudat.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah yang juga ADUN Bengkoka, Datuk Harun Durabi merangkap Bendahari Umno Bahagian Kudat, mantan Adun Bengkoka Datuk Masrani Parman, mantan Ketua Umno Bahagian Kudat dan mantan Adun Pitas Datuk Bolkiah Haji Ismail dan pemimpin parti komponen BN Kudat.

scroll to top