UMNO Miliki Struktur Yang Kukuh – Bung

UMNO BANGKIT: Bung bersama Mahdzir dan ahli-ahli UMNO bahagian Kudat melaungkan kata-kata semangat 'UMNO Bangkit' selepas perasmian mesyuarat itu.

Oleh MARIAYATI MURSIDI

PITAS: UMNO tidak menghadapi kesukaran untuk memperkukuhkan jentera parti sekiranya semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing.

Ketua UMNO Sabah Datuk Seri Panglima Bung Moktar Radin berkata, UMNO merupakan sebuah parti yang lengkap strukturnya dari peringkat atasan, bahagian sehingga ke peringkat cawangan.

“Jika semua jentera cawangan, Wanita Pemuda, Puteri dan bahagian berfungsi dan dapat melaksanakan tanggungjawab serta peranan masing-masing, parti pasti kukuh khususnya dalam menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang untuk mencapai kemenangan,” katanya.

Bung berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian mesyuarat cawangan berkelompok bagi cawangan-cawangan UMNO di Zon Pitas melibatkan dua kawasan DUN iaitu Pitas dan Bengkoka di Dewan Terbuka UMNO Zon Pitas kelmarin.

Mesyuarat itu dirasmikan oleh Naib Presiden UMNO yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar Dato Sri Mahdzir Khalid dan turut dihadiri Timbalan Ketua UMNO Sabah Datuk Yakub Khan, Setiausaha UMNO Sabah Datuk Jafry Ariffin, Ketua UMNO Bahagian Kudat Hj Akram Hj Ismail dan Pengerusi Penyelaras UMNO Pitas yang juga ADUN Bengkoka Harun Durabi.

Bung yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO berkata, struktur sedia ada perlu berfungsi mengatur gerak kerja, mendekati ahli akar umbi dan pengundi serta membantu masyarakat yang memerlukan.

“Kegiatan UMNO di semua peringkat cawangan, Wanita, Pemuda, Puteri dan bahagian bukan berkala tapi perlu sentiasa berjalan bagi membuktikan kita bukan parti bermusim,” katanya.

Tambahnya, apa yang dihadapi oleh UMNO ketika ini apabila pemimpin UMNO Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob diangkat menjadi Perdana Menteri merupakan satu rahmat yang Allah berikan kepada seluruh ahli UMNO.

“PRU ke-14 UMNO sudah diuji ,gagal mempertahankan kerajaan…menjadi pembangkang seharusanya memberikan keinsafan kepada semua pemimpin UMNO untuk istiqamah dan memperbaiki kelalaian masa lampau,” katanya.

Menurut Bung, UMNO khususnya di Sabah sebelum ini dianggap sudah terkubur dan tidak relevan, namun dengan semangat juang tinggi ahli di peringkat akar umbi membuktikan tidak ada satu cawangan atau bahagian di Sabah yang dibubarkan selepas PRU ke-14.

“Ini membuktikan slogan parti dulu kini dan selamanya meresap dalam jiwa ahli-ahli UMNO,” katanya.

Sehubungan itu, Bung mahu agar mesyuarat cawangan-cawngan di seluruh bahagian berjalan lancar dengan menjadikan mesyuarat sebagai platform permuafakatan disamping mengatur strategi untuk menghadapi PRU ke-15 akan datang.

scroll to top