KOTA KINABALU: Kemahiran berbahasa asing dalam kalangan pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) memberi nilai tambah kepada graduan untuk meneroka pelbagai peluang pekerjaan yang bersifat antarabangsa.
Naib Canselor UMS Prof. Datuk Dr Kasim Hj Mansor berkata universiti itu mendukung sepenuhnya program memberi ruang kepada pelajar mempraktik kemahiran berbahasa dalam bahasa-bahasa yang mereka pelajari.
“Menguasai lebih dari satu bahasa di era globalisasi merupakan suatu kemahiran berkomunikasi tambahan yang dapat memberi daya saing kepada pelajar di persada antarabangsa,” katanya.
Dr Kasim berkata demikian ketika merasmikan Malam Bahasa Asing dan Tempatan anjuran Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa (PPIB) yang dibacakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Madya Dr Raman Noordin.
Majlis malam itu memberi pelajar ruang menampilkan persembahan seni dan bahasa Sepanyol, Arab, Jepun, Perancis, Mandarin, Kadazandusun, bahasa Melayu kepada pelajar antarabangsa dan bahasa Inggeris.
Kalangan pelajar antarabangsa dari Algeria, Bangladesh, Brunei, China dan Jepun yang mengambil kursus bahasa Melayu di PPIB turut menampilkan persembahan kemahiran berbahasa dan seni kebangsaan Malaysia.
Terdahulu Dekan PPIB Prof Madya Dr Lai Yew Meng menegaskan kemahiran berbahasa asing kian diberi penekanan sebagai nilai tambah dalam pembentukan dan pemerkasaan modal insan.
“Selain menguasai bahasa Kebangsaan dan bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa, kemahiran berbahasa dalam pelbagai bahasa asing dapat meletakkan graduan sebagai generasi kalis perubahan zaman,” katanya.
Menurut Dr Lai, dalam dunia tanpa sempadan dewasa ini, kalangan graduan perlu memiliki kemahiran berkomunikasi dalam pelbagai bahasa agar dapat meneroka pelbagai peluang pekerjaan yang melangkaui sempadan nasional.
Hadir sama Pengarah Pusat Persediaan Sains dan Teknologi UMS Prof Dr Jumat Sulaiman, Ketua Bahagian Sumber Manusia Sirahim Abdullah, Timbalan Dekan Akademik PPIB Dr. Abang Mohd Razif Abang Muis, Penyelaras Gugusan Bahasa Asing dan Tempatan Dr Mohd Nor Azan Abdullah, Pengerusi Pelaksana Dr Noor Fadilah Dawi dan wakil-wakil dekan fakulti.