UPPM Perlu Proaktif Pastikan Rakyat Dapat Suntikan Vaksin

HAJI DUMAN TUKIMIN

Oleh ABD NADDIN HAJI SHAIDDIN

KOTA KINABALU: Kaedah pemberian vaksin secara jumpa terus atau ‘walk in’ dan kaedah `suntik dahulu daftar kemudian’ boleh menyelesaikan masalah kadar vaksinasi yang rendah di Sabah, kata seorang pemimpin masyarakat di Sepanggar, Haji Duman Tukimin.

Bagaimanapun beliau meminta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) di semua peringkat agar lebih proaktif bagi memastikan semua rakyat termasuk di kawasan luar bandar tidak tercicir daripada Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) .

Beliau berkata jumlah pemberian vaksin di Sabah yang dikatakan masih rendah dapat diatasi jika UPPM di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) memainkan peranan mengenalpasti rakyat yang harus diberi suntikan vaksin di kawasan masing masing dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Selain itu, beliau menyeru agar lebih banyak program pemberian vaksin diadakan di Kawasan taman perumahan, kampung-kampung secara terjadual bagi memberikan peluang kepada orang ramai mendapatkan vaksin.

Menurutnya, jumlah kes yang masih menunjukkan peningkatan di Sabah memerlukan semua pihak menggembeling tenaga untuk mengatasi sebarang isu berkaitan pemberian vaksin di mana terdapat aduan orang ramai terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan suntikan vaksin.

Sebelum ini beberapa pemimpin Sabah seperti Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin membangkitkan isu kadar pemberian vaksin yang masih rendah di Sabah dalam sidang Parlimen baru -baru ini sambil mencadangkan agar vaksin jenis dos tunggal diberikan kepada penduduk pedalaman yang menghadapi kesukaran mendapatkan vaksin kerana faktor demografi.

Selain itu dalam sidang Parlimen itu juga , Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mohd Azis Jamman juga menyatakan jumlah vaksin yang diterima di Sabah agak rendah mengakibatkan ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) berada dalam keadaan ‘under utilise’ atau dimanfaatkan sepenuhnya.

Dalam pada itu, Haji Duman berkata kaedah pemberian vaksin secara walk in boleh diperbanyakkan lagi bagi memastikan semua 3.9 juta penduduknya mendapat suntikan vaksin.

Beliau juga meminta semua anggota masyarakat agar mematuhi secara total SOP yang ditetapkan dan mengamalkan disiplin diri bagi menghindarkan diri dari dijangkiti Virus Covid 19.

Dalam perkembangan berkaitan, Haji Duman meminta agar pemberian bakul makanan dibuat dengan mengutamakan soal kemanusiaan dan tidak dipolitikkan.

Pemberian bakul makanan juga mestilah dibuat berdasarkan satu keluarga satu bakul makanan dan bukan satu rumah satu bakul makanan kerana terdapat kes di mana beberapa keluarga tinggal dalam satu rumah tidak mendapat bantuan.

scroll to top