UPSI Simpati Rumah Alumni Musnah Dalam Kebakaran

MUSNAH ... Mohd Sabri di kawasan rumahnya yang musnah sama sekali dalam kejadian kebakaran pada Isnin lalu.

TAWAU: Seorang alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menetap di Kampung Titingan, Tawau ditimpa musibah kebakaran yang mengakibatkan rumah keluarganya musnah sama sekali Isnin lalu.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Yang Menjalankan Fungsi Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Ts. Dr. Suriani Abu Bakar berkata UPSI bersimpati dengan nasib yang menimpa Mohd Sabri Hassan, lepasan UPSI program pengajian Ijazah sarjana Muda Pendidikan (Sains) tahun 2020 yang kehilangan rumah tempat berteduh.

MOHD FADHIL ABDULLAH

“Sebagai tanda simpati, kami menggerakkan kempen sumbangan untuk Mohd. Sabri menerusi Pusat Alumni dengan harapan kalangan warga dan alumni UPSI dapat menghulurkan sumbangan menerusi kempen Alumni Care untuk membantu meringankan beban yang ditanggung oleh Mohd. Sabri sekeluarga,” katanya.

Beliau berkata semoga sumbangan itu bersama lain-lain pihak akan membantu Mohd. Sabri membina semula rumah untuk meneruskan penghidupan.

Mohd Sabri, 27, anak kedua daripada empat beradik ketika dihubungi berkata beliau terpaksa menguruskan pelbagai perkara berikutan bapanya yang sudah berusia 63 tahun menumpang di rumah saudaranya.

“Menyedihkan kerana kejadian kebakaran yang melibatkan 50 buah rumah di perkampungan nelayan ini berlaku sehari sebelum menyambut Hari Raya Aidil Adha,” katanya.

PROF TS SURIANI

Mohd Sabri berkata dia redha dengan musibah yang menimpa dan segala sumbangan diharapkan dapat membina semula rumah yang musnah.
Ketika api menyemarak di kampungnya, Mohd Sabri sedang membuat persiapan menyambut hari raya bersama keluarga.

“Bapa saya sudah tidak bekerja dan ibu berniaga kecil-kecilan di kampung, tetapi terkesan oleh pandemik COVID-19 , ibu tidak dapat mencari rezeki berniaga,” katanya.

Walau bagaimanapun, Mohd Sabri bersyukur kerana berjaya dalam temuduga sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan DG41 baru-baru ini dan masih menunggu surat panggilan penempatan.

Sementara itu Penasihat Ikatan Sepadu Anak Jati Sabah (IKSAS), Mohd Fadhil Abdullah melahirkan rasa sedih atas kejadian yang berlaku dan meminta Mohd Sabri dan keluarga terus kuat dan tabah meneruskan kehidupan.

Bagi alumni atau sesiapa yang ingin memberi sumbangan bagi meringankan beban Mohd Sabri sekeluarga boleh menghubungi beliau di talian 011-1957 6326 atau menyumbang terus ke akaun Mohd Sabri Hasan 160037303755 (Maybank).

scroll to top