USAHA minta kerajaan hapus cukai eksport 10 peratus

HAPUSKAN CUKAI EKSPORT…Ahli Jawatankuasa Tertinggi USAHA meminta kerajaan menghapuskan cukai eksport 10 peratus untuk bahan mentah getah.

KOTA KINABALU: Pertubuhan Pekebun-Pekebun Kecil Bersatu Sabah (USAHA) meminta Kerajaan Negeri menghapuskan cukai eksport 10 peratus (mengikut harga SMR 20) untuk bahan mentah daripada pengeluaran pekebun-pekebun kecil getah.

Presiden USAHA, Chua Men Nam berkata pekebun-pekebun kecil getah sepatutnya bebas menjual getah ke mana-mana tempat yang mereka ingini.

CHUA MEN NAM

Katanya, permintaan USAHA itu adalah selaras dengan saranan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah, Datuk Seri Panglima Dr Jeffery Kitingan dalam ucapannya sempena dialog dengan pekebun kecil getah di Dewan Keningau baru-baru ini.

“Memandangkan perbezaan yang sangat ketara dari segi harga getah antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, USAHA mewakili ahli-ahlinya dan pekebun kecil getah di negeri ini mengemukakan cadangan itu supaya bahan mentah getah boleh mendapat harga yang baik dan berpatutan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya, di Jalan Pintas Penampang kelmarin.

USAHA berpendapat bahawa undang-undang dan peraturan di negeri Sabah ketika ini seolah olah menyekat pekebun-pekebun kecil getah untuk menjual ke tempat lain dengan harga yang lebih baik.

Sekarang mereka tidak mempunyai pilihan lain melainkan menjual kepada LIGS selaku agensi kerajaan dengan harga yang kurang memuaskan dan merugikan pekebun kecil, kata Chua.

Menurutnya, hasil lawatan rombongan USAHA diketuai beliau sendiri, Penasihat Kehormat, Tan Sri Simon Sipaun, Naib Presiden Haji Bahar Kahar dan Majial Mangulinzang, Ketua Penerangan, Richard Lanning Kita ke agen pembeli swasta berlesen di Seremban Negeri Sembilan mendapati perbezaan harga yang ketara antara Semenanjung dan Sabah.

Harga kentalan seberat 10.5 kilogram yang sudah disidai 14 hari dan dianggap Gred 1 bernilai RM4 sekilo manakala harga kentalan yang sama yang ditentukan LIGS hanyalah RM2.50 sekilo.

Menurut Chua, agen pembeli itu yang berpengalaman 30 tahun  mengatakan kentalan yang dibawa dari Sabah sebanyak 10.5 kg itu, KGKnya melebihi 75 peratus dan  menyatakan pembelian getah mengikut kekeringan dan kebersihan getah serta menawarkan harga RM4.00 sekilo.

“Perbezaan harga getah yang sangat jauh antara Sabah dan Semenanjung Malaysia, membawa kerugian yang  besar dan tidak adil kepada pekebun-pekebun kecil getah,” katanya.

Beliau berharap Menteri Pertanian dan Industri Makanan mengambil berat mengenai perkara itu demi kelangsungan  hidup 90,000 keluarga pekebun-pekebun kecil getah di negeri ini.

scroll to top