Usaha minta Kerajaan Pusat laksana tindakan bersepadu bantu pekebun kecil getah

MINTA KERAJAAN AMBIL TINDAKAN BERSEPADU….Ahli Majlis Tertinggi USAHA diketuai Presidennya, Chua Men Nam bergambar selepas mesyuarat persatuan itu di Penampang.

PENAMPANG: Pertubuhan Pekebun Pekebun Kecil Bersatu Sabah (USAHA) mencadangkan agar Kerajaan Pusat dapat melaksanakan  tindakan bersepadu dengan kadar segera dalam usaha membantu kira-kira 90,000 pekebun kecil getah di negeri ini.

Ahli Majlis Tertinggi USAHA, yang diketuai oleh Presidennya,  Chua Men Nam memaklumkan bahawa pihak mereka bersedia untuk menemui  Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menerangkan senario sebenar keresahan pekebun pekebun kecil dan berhasrat mengemukakan cadangan USAHA selaku sebuah badan NGO yang mewakili sebahagian besar suara pekebun kecil getah di Sabah.

Chua berpendapat, Kerajaan Pusat perlu mewujudkan satu ahli jawatankuasa panel dalam menentukan harga getah yang lebih praktikal, telus dan berpatutan demi menyelesaikan isu harga getah yang selama ini didapati jauh berbeza dengan negeri-negeri di Semenanjung dan Sarawak.

Beliau  memberitahu bahawa,”Selama ini harga getah di Sabah adalah harga yang terendah di Malaysia”.

Menurutnya, USAHA juga mencadangkan kepada Kerajaan agar menaikkan harga lantai getah kepada RM3.50/ kilo untuk bahan mentah 50 % Kandungan Getah Kering(KGK). Untuk Sabah/Sarawak ialah RM5.00 sekilo dengan bahan mentah 75 % KGK. Ini akan membantu pekebun kecil getah lebih bersemangat dan dapat membantu dalam mengurangkan bebanan kenaikan harga barang keperluan harian serta keperluan ladang seperti baja.

Chua bersama anggota pimpinan tertinggi USAHA juga mencadangkan supaya Kerajaan memberhentikan pungutan SES Tabung Penanaman Semula Getah sebanyak sepuluh sen per kilo memandangkan kerajaan Pusat telahpun menyalurkan peruntukan sepenuhnya dalam membangunkan Industri  Getah di Negeri ini.

Mengenai Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) , USAHA mencadangkan agar keutamaan diberikan kepada pekebun-pekebun kecil getah yang benar-benar menoreh getah atau sumber pendapatan mereka bergantung semata mata kepada hasil torehan.

Satu mekanisme pemantauan status sebenar pekebun kecil getah supaya bantuan ini boleh diperkemaskinikan untuk dapat mengetahui mereka yang benar-benar perlu kerana terdapat juga pemilik kebun getah tanpa mengharapkan daripada aktiviti menoreh dan mendapat sumber yang lebih baik, namun mereka ini menerima bantuan BMT.

Sementara itu, USAHA meminta Kerajaan Negeri menghapuskan cukai eksport 10 peratus ke atas bahan mentah getah yang hendak dijual ke Sarawak atau Semenanjung Malaysia kecuali eksport ke luar negara.

Peraturan mengenakan cukai 10 peratus ini adalah penghalang kepada pekebun kecil di negeri ini untuk menjual bahan mentah getah  ke luar tempat demi untuk mendapat pendapatan yang lebih baik, katanya.

Berhubung dengan jual beli kentalan (cuplump), Kerajaan Negeri sangat diharapkan supaya dapat mempertimbangkan untuk meliberalisasi perniagaan tanpa sekatan duti import dan mengikuti amalan seperti Semenanjung dimana pekebun kecil boleh menjual kepada mana-mana pembeli atau kilang selain daripada Lembaga Industri Getah (LIGS) sendiri.

scroll to top