USIA disaran laksana transformasi dakwah

TERIMA SIJIL…Haji Abd Rahman Tun Sakaran mewakili peserta menerima sijil penyertaan daripada Arifin.

KOTA KINABALU:  Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) disaran melaksanakan transformasi dakwah sesuai dengan tuntutan semasa menerusi pendekatan yang lebih berkesan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor berkata sesuai dengan perkembangan teknologi semasa, kita perlu meneroka pelbagai disiplin ilmu agar usaha dakwah yang dijalankan dapat dimantapkan dan lebih proaktif.??

Katanya, menerusi Pelan Strategik Pembugaran USIA itu, pertubuhan itu dapat menyegarkan kembali peranannya dalam mengemudi gerakan dakwah yang lebih sistematik sesuai dengan era digital.

Ia juga dapat memberi suatu dimensi baru bagi USIA untuk meningkatkan dan memperkasakan semula peranannya dalam gerakan dakwah.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024  diadakan diDewan Kinabatangan,Sabah International Convention Centre(SICC),Kota Kinabalu, kelmarin.

Teks ucapan beliau  dibacakan oleh Menteri Tugas-tugas Khas, Datuk Dr Arifin Mohd Arif.

Sementara itu, ketika mengulas Pelan Strategik Pembugaran USIA 2022-2024, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Datuk Sapawi berkata beberapa langkah proaktif akan dilakukan termasuklah menubuhkan Puteri Usia, yang menyasarkan golongan belia wanita untuk terlibat sama dalam dakwah di Sabah.

BERSAMA HADIRIN…Arifin bersama para hadirin yang hadir dalam Ceramah dan Majlis Perasmian ini.

Turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Panglima Kadzim M. Yahya, Timbalan Menteri Kewangan II Datuk Yamani Hafez dan Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) Datuk Seri Panglima Yahya Husin.

Pada sebelah pagi, satu sesi Ceramah Wacana Pemikir 1.0 bertajuk Media Sosial disampaikan oleh Prof Madya Ts Dr Nur Izura Udzir dari Universiti Putra Malaysia manakala moderatornya ialah Dr Hajah Suhailah Haji Abd Muin.

Lebih 350 peserta  menghadiri program berkenaan.

scroll to top