Vaksin Jenis CanSino Dijangka Tiba Bulan Hadapan

SAMPAIKAN ...Hajiji (dua dari kanan) menyampaikan bakul makanan dan Bantuan Prihatin Sabah 3.0 kepada salah seorang penerima.

KENINGAU: Vaksin Covid-19 jenis CanSino dijangka tiba di Sabah pada bulan hadapan dengan memberi keutamaan penduduk kawasan pedalaman, luar bandar, pulau dan ladang di seluruh negeri.

Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor berkata, keutamaan itu diberikan kerana vaksin jenis CanSino hanya memerlukan satu dos suntikan sahaja.

SIDANG MEDIA …Hajiji ketika ditemui media.

“Ia memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam proses pemberian vaksin di kawasan-kawasan berkenaan.

“Sekiranya berjalan lancar, kita dijangka mencapai imuniti berkelompok sebelum akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui media selepas lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Dewan Kompleks Sukan Keningau, pada Selasa.

Tambah beliau, sebanyak 1.8 juta dos vaksin jenis CanSino dimohon daripada Kerajaan Persekutuan di samping satu juta dos vaksin jenis Pfizer yang bakal tiba pada awal bulan Ogos.

Dalam pada itu, Hajiji turut menjelaskan seramai 303,120 penduduk Sabah telah menerima bantuan tunai secara sekali bayar setakat 26 Julai iaitu anggaran 84 peratus daripada jumlah penerima yang layak.

“Selain itu, sebanyak 356,639 bakul makanan juga sudah diagihkan kepada masyarakat terjejas dan layak terutamanya yang menjalani kuarantin di rumah, penerima bantuan e-kasih serta golongan B40.

SUASANA….Suasana sekitar program imunisasi kebangsaan Covid-19 di Dewan Kompleks Sukan Keningau.

“Dengan bantuan yang disampaikan, kita berharap ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang ditanggung rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19,” katanya lagi.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Jahid Jahim, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Ellron Alfred Angin, Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Arifin Mohd Arif, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong dan Pegawai Daerah Keningau, Walter Kenson.-Penerangan.

scroll to top