Wajibkan Sastera Melayu di sekolah

SASTERA PENTING…Ketua Dua Gapena, Amiruddin Md Ali Hanafiah bersama Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Haji Mohd Arifin Arif.

KOTA KINABALU : Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (GAPENA) mencadangkan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) mewajibkan mata pelajaran Kesusasteraan Melayu di sekolah.

“Pelaksanaan ini bukanlah suatu yang sukar kerana mata pelajaran Kesusasteraan Melayu pernah diajarkan di sekolah suatu ketika dahulu,” tegas Ketua Dua GAPENA, Amiruddin Md.Ali Hanafiah.

Menurut Amiruddin, buat masa ini pelaksanaan mata pelajaran tersebut di sekolah hanya ditentukan okeh pengetua.

“Kita mahu mata pelajaran ini diwajibkan kerana lebih fokus berbanding KOMSAS” ujarnya ketika menjadi Ahli Panel Forum Festival Keusasteraan dan Kesenian Antarabangsa Sabah 2022 di sebuah hotel di sini kelmarin.

Tambahnya, setiap sekolah boleh mewujudkan sekurang-kurangnya sebuah kelas yang mengajarkan Keusasteraan Melayu.

Beliau menyatakan  pelajar kurang minat dalam subjek berkenaan serta pencapaian kurang baik dalam peperiksaan tidak boleh dijadikan alasan penutupan kelas .

Tegas Amiruddin lagi, mata pelajaran ini bukan untuk pelajar yang dikatakan lemah tetapi juga memberi peluang kepada pelajar aliran sains yang berminat.

“KPM perlu menyegerakan pelaksanaan sekolah ini selewat-lewatnya tahun 2023,” ujarnya.

Jelas Amiruddin, GAPENA bersedia untuk bertemu dengan PM dan Kesatuan Guru untuk membincangkan saranan ini.

scroll to top