Oleh ABD NADDIN HJ SHAIDDIN
KENINGAU: Sebaik menerima aduan orang ramai, wakil rakyat Bingkor,Datuk Robert Tawik @ Nordin bergegas untuk meninjau keadaan jalan raya KM14 Jalan Keningau-Apin Apin berdekatan Jambatan Liau Laut yang runtuh akibat hakisan hujan.
Laluan berkenaan adalah laluan utama jalan Keningau – Tambunan dan kini tidak dapat dilalui kerana runtuh berikutan berlakunya mendapan.
Pembantu Menteri Kerja Raya itu memberitahu, tindakan susulan akan dilakukan dan diusahakan dengan kadar segera.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa waspada memandangkan keadaan cuaca yang kerap hujan, katanya sambil menambah usaha pembaikan sedang dilaksanakan.

ROSAK…Beginilah keadaan jalan raya di KM14 Jalan Keningau Apin-Apin yang rosak akibat mendapan.
Bagi mereka yang ingin pergi ke Pekan Keningau dari arah Apin-Apin dan Tambunan dinasihatkan untuk menggunakan jalan alternatif iaitu melalui Jalan Ranggom/Kapayan menghala ke Jalan Magatang dan sebaliknya.
Turut mengiringi Robert dalam lawatan itu Jurutera JKR, Zulkefli Salip Arjud dan Penolong Jurutera Jabatan Air Dennis Ugau.
Turut hadir pihak PDRM, pihak syarikat konsisi Lintasan Resource, Staf UPPM dan JPKK.