KOTA KINABALU: Wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting, kata Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk James Ratib.
Oleh itu, beliau menyarankan Jabatan Hal Ehwal Wanita (Jhewa) Sabah agar menyediakan lebih banyak kursus kepimpinan serta memberi peluang kepada golongan hawa meneroka prospek perniagaan di peringkat global.
“Kita akui, wanita merupakan salah satu tonggak pembangunan negara yang paling penting bukan sahaja dari aspek sosial, politik dan ekonomi malah merangkumi aspek pembangunan.
“Ke arah itu, saya sarankan kepada kementerian terutama Jhewa Sabah supaya memberikan lebih banyak kursus-kursus kepimpinan atau ceramah kepada golongan wanita bagi mengilap keupayaan mereka dalam kepimpinan yang seterusnya memperkenalkan mereka ke peringkat antarabangsa,” katanya kepada media selepas merasmikan Seminar Kasih Wanita: Kerjaya dan Keluarga Sempena Sambutan Hari Wanita Antarabangsa Tahun 2023 di Wisma Wanita pada Rabu.
Bertemakan ‘Kasih Wanita’, Sambutan Hari Wanita Antarabangsa 2023 mengiktiraf peranan wanita dalam pembangunan negara.
“Sambutan hari ini amat bermakna untuk memperkasakan wanita secara inklusif bagi memastikan lebih banyak penyertaan wanita secara berkesan di dalam pentadbiran negara,” jelas beliau.
Turut hadir, Pembantu MPMKR, Datuk Flovia Ng, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Masyarakat Dan Kesejahteraan rakyat, Datuk Sr. LeeChun Kiong dan Pengarah JHEWA Sabah, Haslina Ismail.-PENERANGAN